SELEPAS Khazanah Nasional Berhad mencatatkan kerugian RM6.3 bilion di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH), kini giliran pendapatan Permodalan Nasional Berhad (PNB) pula mengalami penyusutan.

Seperti dilaporkan Utusan Online, pendapatan bersih PNB turun 1.4 peratus kepada RM5.3 bilion bagi tahun ini setakat 31 Mei 2019.

Namun PNB masih mencatat peningkatan sebanyak tujuh peratus tahun ke tahun bagi jumlah Aset di Bawah Pengurusannya (AUM) yang kini melebihi paras RM300 bilion buat pertama kali untuk mencecah RM301.4 bilion.

Menurut pengerusinya, Tan Sri Dr. Zeti Aziz, keyakinan rakyat Malaysia terhadap PNB masih tinggi dengan peningkatan bilangan pemegang akaun sebanyak 5.2 peratus kepada 14.1 juta akaun.

Jelas beliau, Kajian Separuh Penggal Pelan Strategik PNB sedang berjalan lancar dalam tiga bidang utama yang telah dikenal pasti untuk meningkatkan lagi pelan tersebut iaitu Peruntukan Aset Strategik dan Pengurusan Kecairan Optimum, Pengurusan Risiko Organisasi dan Transformasi Organisasi.

“Pelaksanaan kajian semula ini sangat penting dalam usaha PNB untuk terus memberi pulangan mapan dalam jangka sederhana dan yang lebih panjang,” katanya.

Zeti berkata, sebagai sebahagian daripada fokus PNB untuk 2019, strategi kepelbagaian syarikat juga akan dipercepatkan ke seluruh kelas aset untuk mengoptimumkan pulangan dan meminimumkan pendedahan risiko.

“Hasil daripada inisiatif ini, peruntukan portfolio PNB dalam sekuriti pendapatan tetap dan aset global telah meningkat masing-masing kepada 7.4 peratus dan 4.9 peratus pada akhir Mei 2019, berbanding 5.8 peratus dan 2.4 peratus pada 2017,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, PNB mempertimbangkan untuk meningkatkan pelaburan di luar negara meliputi pelbagai kelas aset termasuk ekuiti antarabangsa, pendapatan tetap dan hartanah. – 25 Jun 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.