USAHA-usaha penyatuan ummah ketika ini sedang rancak dijalankan. Semakin hari semakin kuat dan jelas akan arah tujunya.

Semuanya terdorong atas kesedaran bahawa kuasa politik umat Islam dan Melayu bumiputera semakin diperkotak-katikkan oleh DAP yang menguasai kerajaan pusat secara tidak langsung.

Kesedaran untuk penyatuan itu bukan sahaja terbatas kepada dua parti Melayu Islam terbesar iaitu UMNO dan PAS, malah turut dirasai oleh pelbagai parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) lainnya.

Dalam hal ini Presiden Empirikal Malaysia, Anina Saadudin berpandangan bahawa apa-apa sahaja gerakan, kumpulan atau individu yang mewakili umat Islam adalah sub set kepada penyatuan ummah.

“Penyatuan ummah perlu menyeluruh. Ummah merujuk kepada pihak yang sama-sama menyokong Islam kembali berkuasa.”

“Umat Islam perlu mentadbir entiti mereka sendiri. Ketika ini, umat Islam ditadbir oleh kerajaan yang tidak bertunjangkan Islam. Kuasa Pakatan Harapan ditunjangi oleh DAP yang tentunya bukan Islam dan terang-terang menentang Islam dan memusuhi Islam,” kata Anina ketika dihubungi.

Menurut beliau lagi, mana-mana individu atau badan bukan kerajaan yang menentang kuasa yang ditunjangi DAP parlu juga diangkat sebagai salah satu gerakan penyatuan ummah.

Ketika ditanya tentang kenyataan Presiden PAS bahawa untuk memimpin penyatuan ummah tidak semestinya daripada PAS atau UMNO, Anina mengulas bahawa kenyataan tersebut betul.

“Saya fikir kenyataan Tuan Guru Abdul Hadi itu menunjukkan beliau nampak penyatuan ummah ini dalam skop dan spektrum yang lebih luas. Beliau tidak melihat penyatuan ini sebagai hanya untuk PAS dan UMNO. Ummah itu kesemua umat Islam,” ujar Anina.

Sementara itu, Presiden GPMS, Zambri Mohd Isa meminta umat Islam dan Melayu perlu membuang ego dalam diri serta sikap mementingkan diri dan kelompok masing-masing.

Jika hal itu dapat diatasi, barulah penyatuan ummah dapat dilaksanakan.

“Orang Melayu Islam sebelum ini berpecah hanya kerana sedikit perbezaan pandangan. Pada masa yang sama berebut kuasa sesama sendiri.”

“Akhirnya, akibat berpecah, kuasa yang kejar juga tidak dapat digapai,” kata Zambri ketika dihubungi.

Oleh itu jika sifat ego dan pentingkan diri sendiri dibuang dan umat kembali bersatu, barulah kuasa memerintah dapat dikembalikan.

Zambri menggesa umat Islam Melayu supaya jangan mencari titik permusuhan, tetapi carilah titik persamaan.

Isu penyatuan ummah ini dijangka akan diperkukuhkan lagi melalui Perhimpunan Agung UMNO yang dijadualkan akan diadakan pada November 2019 ini.

Sebelumnya, dalam Muktamar PAS Pusat ke-65 di Kuantan baru-baru ini, PAS telah meletakkan garis panduan asas penyatuan ummah. Dijangkakan, perbincangan lebih terperinci akan diteruskan sebagai persiapan menghadapi PRU15. – NTHQiBORD 25 Jun 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.