TAN Sri Dr Rais Yatim mengingatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya ikhlas dalam bekerja dan tidak terlalu memikirkan soal jawatan Perdana Menteri (PM).

Sindiran Rais itu berdasarkan pengalamannya yang pernah berkhidmat di bawah enam orang PM, termasuk Tun Mahathir sendiri.

“Jadi, oleh kerana beliau (Tun Mahathir) saya kenali sejak tahun 1973, saya berpendapat dalam situasi sekarang, orang-orang yang begitu berlumba nak jadi PM atau merebut jawatan harus upaya tahu ada masa mereka akan disekat oleh situasi atau hal tidak disangka-sangka.

“Yang keduanya ialah orang yang jadi Timbalan Perdana Menteri tak semestinya jadi PM. Sudah banyak kisah kita lihat Tun Musa Hitam, Ghafar Baba dan juga Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri,” kata Rais seperti laporan Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Anwar kerap memuatnaik status di Facebook beliau menunjukkan kerap berjumpa Tun Mahathir dan menyatakan berbincang banyak perkara.

Dalam masa yang sama, isu peralihan kuasa daripada Tun Mahathir kepada Anwar sering menjadi perbincangan umum.

Apatah lagi terdapat desakan daripada penyokong kuat Anwar yang mahukan peralihan kuasa segera dilakukan.

Dalam hal itu Rais mengingatkan sesiapa yang berlumba mahu menduduki jawatan nombor satu kerajaan supaya maklum bahawa `hanya satu perempat sahaja’ Tun Mahathir `memberitahu dunia’.

Sementara tiga perempat lagi, kata Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan itu, Perdana Menteri akan simpan ‘untuk masa hujan, tengkujuh, masa panas’.

“Tak bijak misalnya mengatakan “Oh! sudah dijanjikan pada saya. Itu janji politik, ini bukan janji Pesuruhjaya Sumpah. Jadi, upaya mengatakan “Oh! saya akan ke situ (PM), halnya sudah ditetapkan. Saya tak fikir ia semudah itu,” kata beliau lagi.

Akhbar utama hari ini pula melaporkan bahawa Tun Mahathir tidak bermaksud hanya tiga tahun memegang jawatan PM.

Bagi beliau, yang penting sasaran kerja yang dibuat mencapai matlamat yang beliau mahukan.

Tun Mahathir juga menyatakan perjumpaan dengan Anwar di pejabatnya hanyalah berbincang perkara biasa dan tiada berkaitan dengan peralihan jawatan PM.

Kenyataan Tun Mahathir ini sekali gus sekali lagi memberi isyarat bahawa peluang untuk Anwar mendaki takhta tertinggi pemerintahan negara masih samar-samar. – 25 Jun 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.