POLIS Indonesia menahan seorang ahli politik negara terbabit atas dakwaan mengemukakan sijil ijazah sarjana dan kedoktoran falsafah (PhD) palsu.

Perkara itu terjadi apabila Nurul Qomar atau lebih dikenali sebagai Qomar Empat Sekawan yang juga merupakan pelakon komedi itu dicalonkan sebagai Rektor Universitas Muhadi Setiabudi (UMUS).

Ketua Pegawai Perhubungan, Ibu Pejabat Polis Jawa Tengah, Agus Triantmaja memetik sebagai berkata Nurul Qomar kini ditahan.

Dia juga dilaporkan sedang disoal siasat di Balai Polis Brebes, Jawa Tengah atas kesalahan pemalsuan sijil akademik itu.

“Kita menjalankan siasatan mengikut Artikel 263, Kanun Jenayah kerana menggunakan dokumen palsu,” katanya.

Agus sementara itu memaklumkan bahawa penahanan itu dilakukan selepas polis menerima laporan daripada UMUS.

Universiti mengesyaki bahawa suspek mengemukakan dua sijil ijazah palsu ketika namanya dicalonkan sebagai rektor universiti terbabit.

Bagaimanapun  Agus tidak mendedahkan maklumat lanjut berhubung kes tersebut.

Laporan media tempatan Detik News mengatakan polis menahahan Nurul Qomar  di rumahnya semalam.

Selepas beliau gagal hadir ke balai polis ketika dipanggil untuk merekodkan keterangan beberapa kali.

Ahli Parti Demokrat itu suatu ketika dahulu pernah menganggotai Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) selama dua penggal bermula 2004.

Namun begitu, Nurul Qomar tewas pada pemilihan Bupati Cirebon yang diadakan pada tahun lalu.  – AGENSI, 26 Jun 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.