DULU kelibat Skuad Badar ini amat ditakuti oleh pelaku-pelaku maksiat terutamanya kaki khalwat.

Operasi mencegah maksiat yang dilakukan mereka amat disenangi oleh masyarakat Islam di Sungai Petani kerana dapat mengelak bala Allah menimpa kawasan mereka.

Usaha Skuad Badar juga sedikit sebanyak dapat meringankan beban penguatkuasa terutamanya Jabatan Agama Islam untuk mencegah kemungkaran yang berlaku di bandar itu.

Tapi malangnya, Skuad Badar akhirnya ‘disumpit jatuh’ oleh pihak yang kurang senang dengan aktiviti kebajikan yang mereka lakukan.

Pelaku maksiat bersorak. Tiada lagi serbuan di waktu malam atau waktu mereka sedang menikmati dosa.

Skuad Badar yang diterajui oleh Ustaz Azhar Mohamad diheret ke mahkamah kerana dakwaan mencegah khalwat tanpa tauliah.

Kes itu selesai dengan baik, tapi tiada lagi ketukan di hotel-hotel murahan untuk menangkap pasangan pemuas nafsu.

Selepas hampir lima bulan menyepi, Skuad Badar kini aktif kembali. Tapi kini dengan misi yang berbeza iaitu mencegah kilang haram!

Asap yang menyatukan masyarakat

Ustaz Azhar ketika ditemui NTHQiBord baru-baru ini mendedahkan beliau kini bergiat aktif bersama kumpulan aktivis alam sekitar untuk menentang pencemaran udara yang semakin membimbangkan di Sungai Petani.

Beliau menyertai aktiviti kemasyarakan itu sejak 3 Mac lalu apabila dijemput oleh sebuah kumpulan aktivis alam sekitar yang datang ke rumahnya.

“Pada mulanya, saya pernah bising di media sosial pasal ada orang bakar longgokkan sampah termasuk sisa plastik dari kilang haram.

“Bila video saya tu viral dan saya lawan kilang-kilang haram, akvitis dari masyarakat Cina pun tertarik dengan cara saya.

“Aktivis Cina ini dah buat lama dan datang ke rumah saya untuk sertai perjuangan mereka,” katanya.

Ustaz Azhar berkata, beliau bersetuju menyertai kumpulan itu atas tiket masyarakat dan bukannya kerana agenda peribadi.

“Kalau bab mencegah kemungkaran, hanya tertumpu pada orang Islam saja. Tetapi dalam isu alam sekitar ini tumpuannya lebih majmuk kerana libatkan orang Melayu, Cina dan India.

“Kesan asap ni kena kepada semua tidak kira bangsa. Konteksnya adalah masyarakat dan konsepnya lebih meluas. Kita nak mahu ambil hati orang bukan Islam dan penerimaan mereka cukup baik sekali.

“Jadi saya sertai mereka untuk serbu kilang-kilang haram di sekitar Sungai Petani,” katanya.

Ketepi soal politik

Ustaz Azhar berkata dalam kumpulan akvitis itu langsung tidak meletakkan agenda politik dalam perjuangan mereka.

Katanya, kumpulan itu mempunyai ramai golongan profesional termasuk doktor dan peguam dari Bangsa DAP.

“Saya sendiri sebagai ahli PAS dilantik jadi timbalan pengerusi sedangkan pengerusi saya dari DAP dan timbalan pengerusi satu dari PKR.

“Saya suka cara ini. Mereka ketepikan fahaman politik untuk perjuang benda yang betul. Kilang yang diserbu bukan kilang Melayu, tapi Cina,” katanya. – NTHQiBord, 26 Jun 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.