KEPUTUSAN kerajaan melantik Tan Sri Bakee Salleh sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) yang baharu dipertikai oleh parti Negara.

Menurut pengerusinya Mohamad Ezam Mohd Nor, tindakan melantik orang ‘lama’ disifatkan sebagai membawa Malaysia ke arah terkebelakang.

“Ianya adalah keputusan songsang atau satu langkah ke belakang dari sudut membina Malaysia baru yang telus, transparen dan bernafas baharu.

“Tan Sri Bakee adalah warisan pentadbiran lalu kerana menduduki banyak posisi utama yang dilantik langsung oleh PM dan pentadbiran lalu,” katanya memetik kenyataan medianya sebentar tadi.

Tambah Mohamad Ezam, pelantikan itu secara jelas menunjukkan bahawa kerajaan ketika ini tidak mempercayai kepada pemimpin-pemimpin baharu.

Jelasnya lagi, kerajaan PH dilihatkan seperti tidak mempercayai kepada tokoh-tokoh muda yang jauh lebih berkaliber berbanding Tan Sri Bakee Salleh.

“Ianya sama sekali tidak mencerminkan kerajaan baharu yang memberi ruang kepada tokoh2 baru yang mampu membawa nafas baharu kepada imej pentadbiran.

“Apakah negara ini tidak punya tokoh korporat lain yang benar2 bersih dari sebarang kaitan dengan pentadbiran lalu?

“Kerajaan pembaharuan dan reformasi harus punya keberanian menguji dan memberi ruang kepada tokoh2 muda yang berkaliber bukan sebaliknya,” ulasnya.

Sebentar tadi, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi mengumumkan pelantikan Tan Sri Mohd Bakke Salleh sebagai Pengerusi FELDA yang baharu untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 Julai ini sehingga 30 Jun 2021.

Menterinya, Datuk Seri Azmin Ali di dalam kenyataan medianya berkata perdana menteri telah bersetuju untuk melantik Mohd Bakke.

Beliau juga turut menyifatkan pengerusi baharu itu sebagai berpengalaman luas dalam sektor korporat termasuk industri perladangan.

“Mohd. Bakke merupakan seorang tokoh korporat yang berintegriti dan berwibawa.

“Saya yakin beliau mempunyai kepemimpinan untuk meneruskan usaha mengembalikan Felda sebagai sebuah agensi yang mampu mengangkat martabat peneroka dan menjamin kelestarian Felda,” kata Azmin.

Sebelum ini pengerusi terdahulu, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor meletak jawatan sebagai pengerusi bermula Isnin lalu.

Perdana menteri ketika mengulas perkara ini berkata sebelum ini Megat sudah beberapa kali mengemukakan hasrat untuk melepaskan tangungjawab mentadbir agensi berkenaan kepadanya.

“Beliau kata tidak sihat, sebab itu minta dilepaskan, kita bersetuju,” katanya.

Megat dilantik pada tahun lalu dan telah berkhidmat hampir setahun di FELDA. – NTHQiBord, 26 Jun, 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.