LAIN sungguh nada admin (pengendali) laman Facebook penyokong Tun Mahathir Mohamad, Kelab Che Det.

Bunyinya macam kecewa dengan perangai beberapa menteri Pakatan Harapan (PH) sejak kebelakangan ini.

Dalam coretan yang dimuat naik semalam, Kelab Che Det mempersoalkan sama ada menteri-menteri PH yang masih dibelenggu (peranan) pembangkang walaupun sudah mentadbir kerajaan setahun lebih.

Antara menteri pertama yang ditegur oleh Kelab Che Det adalah Lim Guan Eng susulan kenyataan Menteri Kewangan itu mendakwa Sarawak akan jatuh bankrap.

“Saya faham perasaan orang Sarawak. Sebagai Pakatan Harapan, kita tak sepatutnya ‘bergaduh’ dengan kerajaan GPS Sarawak.

“GPS bukan parti pembangkang cuma parti bebas pro Pakatan Harapan, sepatutnya kita sabagai kawan janganlah memburukkan kawan kita.

“Bukan sahaja memburukkan tapi ianya tidak benar sama sekali. Kerajaan Sarawak menerima Sijil Audit Bersih Untuk Pengurusan Akaun Awam oleh Ketua Audit Negara selama 16 tahun berturut-turut, malah beberapa penarafan antarabangsa memberi rating tertinggi.

“Adakah kerajaan Sarawak akan bankrap? Saya rasa tidak,” kata pengendali akaun Facebook itu.

Teguran kedua juga ditujukan kepada Guan Eng sekali lagi berkenaan pengumuman Sasterawan Negara menerima RM5000 sebulan sebagai hadiah dengan kehadiran Ahli Parlimen Port Dickson.

Kelab Che Det mempersoalkan sepatutnya pengumuman itu dibuat oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, bukannya oleh Menteri Kewangan.

Selain itu, kehadiran Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut dipersoalkan.

“Tak semua Menteri Kewangan perlu umum.

“Dan apa kejadah Ahli Parlimen Port Dickson dekat majlis tersebut?,” katanya.

Seorang lagi menteri yang menjadi ‘mangsa’ teguran penyokong tegar Tun Mahathir ini adalah Mohamad Sabu.

Tindakan Menteri Pertahanan itu memburukkan nama syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) ternyata sukar difahami.

“Alahai, ingat MAS saja buat delay ke? MAS ni jarang sangat la delay kecuali masalah teknikal.

“Yang tak fahamnya, apa kejadah Menteri buat kenyataan memburukkan national carrier semata-mata sebab delay nak jumpa PM?,” katanya lagi.

Kelab Che Det turut mengingatkan para menteri agar tidak lagi berfikiran seperti pembangkang dan mengatur pergerakan dengan lebih tersusun serta meletakan kepentingan yang sepatutnya.

“Bukan apa, jangan lah jadi carca marba. Ini bukan masa untuk mencari lime light. Bukan lagi dalam pembangkang sekarang,” katanya. – 26 Jun 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.