KENAPA “Politik jijik” hanya dikaitkan dengan video seks? Apakah fitnah, cakap bohong, tidak menunaikan janji dan pendakwaan terpilih (selective prosecution) bukan politik jijik?

Demikian komen Dr Puad Zarkashi dalam Facebook beliau merujuk kepada suasana hiruk-pikuk politik Pakatan Harapan hari ini.

Merujuk kepada isu video seks yang dikaitkan dengan Azmin Ali, A Kadir Jasin Pengarah Media Pejabat PM menyatakan pemimpin yang terlibat dengan skandal seks mesti meletak jawatan.

Namun, apabila pemberita meminta komen Tun Mahathir terhadap tulisan A Kadir Jasin itu, jawapan Tun Mahathir ialah “Bukan cara Malaysia” seseorang itu meletak jawatan kerana video lucah.

Bukan cara Malaysia maksudnya bukan budaya Malaysia. Cara adalah kebiasaan. Kebiasaan boleh bertukar menjadi budaya.

Bercakap soal cara atau budaya Malaysia dalam isu moral, Puad teringat peristiwa 36 tahun dulu ketika beliau menuntut di Amerika Syarikat.

Sepasang pelajar Malaysia tajaan biasiswa kerajaan di Stockton California dibicarakan atas tuduhan membunuh anak luar nikah mereka. Bayi yang baru lahir itu dibungkus dan dibuang dalam tong sampah.

Keesokannya, tukang angkat sampah terdengar bunyi bayi menangis. Rupanya bayi itu masih hidup tetapi kerana kesejukan bayi itu mati apabila dibawa ke hospital. Pelajar itu dikenakan dakwaan first degree murder.

Semasa perbicaraan, peguambela pasangan pelajar itu meminta Mahkamah membebaskan mereka atas alasan “Menghormati cara atau budaya Malaysia”.

Hujah peguam ialah, di Amerika seks bebas dan seks sebelum kahwin adalah perkara biasa. Justeru apabila dapat anak luar nikah anak itu diterima dan akan dijaga dengan baik.

Tetapi di Malaysia, mereka malu apabila melahirkan anak luar nikah. Maka dengan menggunakan keratan akhbar di Malaysia dia menunjukkan bukti gambar anak anak luar nikah ditinggalkan dalam tong sampah, tepi longkang, dalam tandas, dalam masjid, dalam semak dan depan pagar rumah orang.

Hujah peguam, itu budaya atau cara orang Malaysia. Maka beliau mahu Mahkamah membebaskan pasangan tersebut demi menghormati cara atau budaya Malaysia.

Hakim bersetuju dan memutuskan pasangan itu tidak bersalah dan dibebaskan kerana menghormati budaya orang Malaysia.

Apakah Tun Mahathir setuju dengan Hakim tersebut. Apakah itu cara Malaysia apabila mendapat anak luar nikah. Justeru apakah Tun Mahathir mengutamakan cara atau budaya daripada prinsip moral sejati, soal Puad.

Dalam kes Azmin, betulkah meletak jawatan bukan cara/budaya Malaysia sebenar. Kalau begitu kenapa dalam kes Anwar, Tun Mahathir pecat dia sebagai TPM dan ahli UMNO. Bahkan secara terbuka Tun Mahathir mendakwa dia tidak boleh membenarkan seorang yang rendah moralnya menjadi Perdana Menteri.

Namun bagi Puad, hakikatnya Anwar tidak boleh menyalahkan Tun Mahathir kerana mereka sama-sama bersubahat.

Anwar sendiri, jika dilihat dalam perspektif politik jijik yang lebih luas, turut melakukan perkara yang sama, malah mungkin lebih teruk.

Lihat sahaja bagaimana Anwar mencanangkan PAS menerima RM90 juta daripada UMNO. Anwar mendakwa mempunyai bukti kukuh. Tetapi sehingga ke hari ini tiada sebarang bukti diberikan.

Padahal, SPRM mengesahkan tiada bukti PAS menerima wang seperti yang dinyatakan itu.

Perlu diingat, ketika Anwar ditelanjangkan suatu ketika dahulu, PAS telah menghulur bantuan seadanya. Kini setelah berasa kuat, tangan yang membantu itu mahu digigitnya.

Bagaimana pula janji-janji manifesto yang gagal ditunaikan hingga ke hari ini oleh kerajaan DAP-PH. Mereka sepatut berasa malu kepada rakyat kerana mungkir janji, bahkan boleh dikira sebagai menipu.

Adakah kerajaan yang naik dengan cara menipu dan memfitnah boleh dianggap kerajaan bermoral? Itupun dikira jijik juga! – 26 Jun 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.