PERJUANGAN Skuad Badar dalam mencegah kemungkaran tidak pernah terpadam walaupun kini sudah bergelar aktivitis alam sekitar.

Presidennya, Ustaz Azhar Mohamad mengakui kumpulannya itu akan kembali ‘menyerang’ Sungai Petani bagi memastikan bandar itu bersih daripada gejala maksiat.

Katanya, penyertaan skuad itu dalam isu alam sekitar merupakan salah satu strategi untuk kembali aktif mencegah kemungkaran.

“Kita mahu cuit dulu hati masyarakat secara umum dengan memperjuangkan isu alam sekitar.

“Saya dah terpanggil untuk bangun balik memperjuangkan objektif asal Skuad Badar.

“Ini kerana banyak permintaan daripada penduduk agar kami kembali aktif mencegah maksiat,” katanya ketika ditemui NTHQiBord, baru-baru ini.

Azhar berkata, penduduk meminta bantuan Skuad Badar kerana mereka sudah bosan dengan alasan yang diberikan pihak berkuasa setiap kali aduan dibuat.

“Pejabat agama bagi alasan tak cukup orang. Mereka kata ada di pasar malam, tiada kenderaan dan bermacam lagi alasan.

“Itu sebabnya saya terpanggil untuk bantu pihak berkuasa sebab mereka ada kuasa, tetapi akhirnya kami pula disalahkan kerana berlebih-lebihan daripada mereka,” katanya.

Cumanya kali ini, beliau mahu memastikan operasi yang Skuad Badar lakukan lebih teratur dan mengikut undang-undang.

“Kita ambil iktibar dan tambah baik perjuangan Skuad Badar supaya kami tidak lagi ‘disumpit’ tetapi kami juga bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan.

“Kami siapkan peguam sebagai persediaan mantap sebab kali ni kami akan buka (Skuad Badar) di seluruh Malaysia, bukan saja di Sungai Petani.

“Insya-Allah, penghujung bulan Julai, Skuad Badar akan kembali ke objektif asal,” katanya.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.