DALAM tempoh kurang setahun, sudah dua kali Pulau Pinang dilanda kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan.

Kejadian terbaru yang berlaku malam tadi menyebabkan empat warga Myanmar terbunuh dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Batu Feringghi, Pulau Pinang.

Insiden itu disahkan oleh Pengarah Bomba Pulau Pinang Saadon Mokhtar yang mengesahkan kejadian itu selepas pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 9.25 malam tadi.

“Setakat ini kita sudah menemui lokasi mangsa-mangsa di bawah timbunan tanah kira-kira 4.5 meter dalam dan usaha mengeluarkan mereka sedang dilakukan,”  katanya.

Kejadian itu berlaku di tapak pembinaan berhampiran pusat peranginan Lost Paradise, di sepanjang laluan pantai di pulau berkenaan.

Kejadian tanah runtuh sering berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini di Pulau Pinang akibat aktiviti pembangunan.

Pada 19 Oktober, 2018, tanah runtuh berlaku di tapak pembinaan jalan di Bukit Kukus yang menyebabkan tiga orang terbunuh.

Pada 21 Oktober, 2017, 11 pekerja kebanyakannya warga asing terbunuh dalam kejadian tanah runtuh.

Pada 5 Oktober tahun yang sama, beberapa kejadian tanah runtuh akibat hujan lebat menyebabkan tujuh orang terbunuh. – 25 Jun, 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.