UMNO dan PAS merancang akan menganjurkan suatu himpunan besar-besaran sempena pelancaran Piagam Muafakat Politik penyatuan ummah.

Perkara itu dinyatakan oleh Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman selaku Pengerusi penganjur perhimpunan, lapor Utusan Online.

“Perhimpunan ini akan menjadi satu acara terbesar kebangkitan ummah dan kita juga mengalu-alukan kehadiran golongan bukan Melayu dalam program pelancaran piagam kerjasama UMNO-PAS ini.

“Ia kerana ia merupakan suatu perkembangan positif dalam erti kata ia menjurus kepada perpaduan dan kesatuan jitu rakyat terutama daripada kelompok majoriti penduduk terbesar negara ini.

“Perpaduan yang dijana dari kumpulan kaum terbesar ini penting bagi mencapai kestabilan, keamanan dan ketenteraman di Malaysia,” kata Ahli Parlimen Pasir Salak itu.

Sebelum ini, Himpunan anti-ICERD 8 Disember tahun lalu berjaya diadakan di Dataran Merdeka dengan kehadiran lebih 10,000 orang.

Himpunan membantah Statut Rom juga berjaya dirancang namun dibatalkan apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan penarikan balik Malaysia.

Himpunan ini adalah rentetan kejayaan penganjuran penyatuan ummah peringkat parti dan negeri sebelum ini antara UMNO dan PAS.

Namun, atas cadangan pelbagai pihak, penyatuan ummah ini mahu diperluaskan kepada semua entiti Melayu tanpa membezakan fahaman politik kepartian.

Cuma, UMNO dan PAS sebagai dua parti politik berasaskan Melayu terbesar disarankan menjadi penaung kepada semua parti dan badan bukan kerajaan (NGO) Melayu lain.

Piagam kerjasama politik yang bakal dilancar dijangka mengambil kerangka yang sama seperti yang dinyatakan oleh Presiden PAS dalam ucapan dasar ketika Muktamar PAS Pusat ke-65 baru-baru ini.

Jika semuanya berjalan lancar perhimpunan ini bakal menghimpunkan semua entiti Islam Melayu daripada pelbagai parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) buat pertama kalinya.

Walau bagaimanapun, tarikh perhimpunan belum ditentukan, sementara lokasi dijangka diadakan di Dataran Merdeka. – 26 Jun 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.