BEKAS Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini berdepan tujuh pendakwaan menerima rasuah lebih SG$4.2 juta bagi melanjutkan kontrak syarikat Ultra Kirana sebagai pengendali One Stop Center (OSC) di China, lapor Sinar Harian.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerima suapan daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd, iaitu wang tunai berjumlah keseluruhan SG$4,240,000.

Tindakan itu sebagai dorongan melanjutkan kontrak syarikat berkenaan sebagai Pengendali Perkhidmatan One Stop Center (OSC) di negara China dan Sistem Visa Luar Negara (VLN) di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya, antara Mac 2017 dan Mac 2018.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar menawarkan jaminan RM200,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan yang dihadapi tertuduh.

Ini merupakan siri pertama dalam pertuduhan hari yang mana jumlah jumlahnya yang melibatkan SG$300,000 hingga ke SG$1 juta.

Ahmad Zahid Hamidi, 66, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan satu persatu di hadapan Hakim Azura Alwi.

Esok, Ahmad Zahid akan berdepan 33 lagi pertuduhan di Mahkamah Shah Alam esok. – 26 Jun 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.