ISU pelajar dirotan kerana mengeluarkan kata-kata biadap kepada gurunya dianggap selesai.

Hari ini kedua-duanya hadir di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Johor Bahru dan masing-masing memohon maaf.

Pertemuan itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri, Aminolhuda Hassan.

“Pertemuan antara kedua-dua pihak berjalan lancar dan kedua-dua pihak telah mencapai kata putus untuk selesaikan isu ini dengan cara baik.

“Pelajar perempuan tersebut juga telah menarik balik laporan polis dibuatnya sebelum ini dan kita anggap perkara ini selesai,” kata Aminolhuda dalam satu kenyataan.

Aminolhuda juga meminta semua sekolah dan warga pendidik memahami dan menguasai peraturan supaya dapat mengawal tindakan menangani disiplin murid.

Hal itu penting agar pendidik tidak beremosi ketika melaksanakan tugas mendidik di samping memantapkan aktiviti berimpak tinggi ke arah kemenjadian murid.

Terdahulu, satu rakaman video berdurasi dua minit 28 saat menunjukkan seorang wanita meminta penjelasan daripada seorang guru lelaki ekoran anak perempuannya dirotan akibat mengejek guru tersebut sebagai cikgu pondan.

Video tersebut tular dan ramai warga netizen mengecam pelajar perempuan terbabit.

Selain kecaman, ada juga warga netizen yang mendedahkan perihal pelajar perempuan terbabit dan memang patut dirotan.

Isu ini mendapat perhatian Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching.

Teo ada menyatakan bahawa pelajar perempuan tidak boleh dirotan di bahagian badan yang tidak sepatutnya.

Kata beliau, larangan itu tertakluk pada ketetapan yang dibuat Kementerian Pendidikan menerusi garis panduan dalam pengurusan disiplin dan kuasa merotan murid di dalam Peraturan 5, Ordinan Pelajaran 1957.

Menurut Teo lagi hukuman rotan adalah tidak dibenarkan untuk murid perempuan dan hukuman kepada murid lelaki adalah dihadkan kepada merotan dengan rotan yang ringan di tapak tangan atau di punggung yang berlapik dengan pakaian di bawah kuasa guru besar.
Namun, peraturan yang dinyatakan oleh Teo itu kurang dipersetujui warga pendidik.

Bagi mereka, jika menteri seolah-olah meletakkan guru dipihak yang salah, maka akan ramai lagi pelajar biadap yang akan muncul. – 27 Jun 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.