DUA hari lepas, peneroka Felda berserah kepada kebijaksanaan Tun Mahathir Mohamad untuk menyelesaikan kemelut pengurusan tertinggi agensi itu.

Ia susulan peletakan jawatan secara mengejut oleh Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor sebagai pengerusi Felda.

Hari ini, Tun Mahathir menunjukkan kesilapan yang dilakukan peneroka Felda dalam kaedah pengurusan kerana mereka mengutamakan tanaman sendiri.

Menurut beliau keadaan itu menjejaskan pendapatan yang diperolehi daripada hasil tanaman masing-masing dan ia akhirnya membawa peneroka terus berharap kepada subsidi kerajaan.

Menurut beliau apabila peneroka menguruskan ladang yang kecil, pendapatan yang diperolehi mereka adalah rendah.

Jelasnya, peneroka sepatutnya bekerjasama dengan pengurus ladang untuk membolehkan tanah lebih besar diusahakan, sekali gus menjana keuntungan tinggi.

“(Di) Felda itu tersilap. Kerajaan bercadang membuat estet besar yang di dalamnya setiap peneroka akan memiliki 10 ekar tanah. Kalau ada 1,000 ekar, ada 100 orang.

“Tetapi saya dapati bahawa ini tidak dilakukan. Masing-masing mengurus estetnya sendiri yang seluas 10 ekar.

Mahathir menggalakkan petani dan peneroka Felda membuat tanaman cantuman yang menurutnya boleh menjana hasil pendapatan lebih besar.

“Kawasan yang kecil ini tak boleh memberi hasil yang mencukupi oleh pemiliknya untuk tanggung sara hidup petani-petani.
Iklan

“Selagi kita ada kawasan kecil ini, selagi itulah petani kita akan terus miskin dan perlukan bantuan subsidi daripada kerajaan.

“Kita tahu estet besar lebih berjaya dan menguntungkan. Selagi kita ada tanah dua, tiga ekar ini diuruskan petani, selagi itulah mereka miskin,” katanya.

Sebab itulah, tambah Mahathir, tanah pertanian yang kecil itu perlu dicantumkan menjadi lebih besar.

“Bukan satu atau dua ekar tapi 1,000 atau 2,000 ekar,” katanya.

Katanya, ia mampu dilakukan walaupun akan mengambil sedikit masa untuk menjayakannya. – 27 Jun 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.