PARTI Melayu yang berada dalam Pakatan Harapan (PH) tidak akan keluar daripada gabungan tersebut, kata penganalisis politik.

Menurut Datuk Mohd Ali Mansor perkara ini terjadi kerana selama ini mereka terlalu banyak bergantung kepada DAP yang merupakan bos besar di dalam PH.

Jadi sekiranya mereka keluar daripada gabungan tersebut dan menyertai kerjasama di antara PAS dan UMNO nescaya mereka akan ‘hilang punca’, kata Mohd Ali.

“Benda itu tidak mungkin akan berlaku sebab kalau kita lihat tiap-tiap parti itu dia bergantung kepada parti masing-masing.

“Manakala parti PH ini banyak bergantung harap kepada sekutu kuat mereka iaitu DAP,” katanya.

Tambahnya, penyatuan ummah ini sudah tentu memberi manfaat kepada masyarakat Melayu namun tidak akan terjadi sekiranya melibatkan parti seperti Bersatu, PKR dan Amanah.

Katanya perkara ini terjadi sudah tentu disebabkan masing-masing mahu menjaga kepentingan parti sendiri di dalam kerajaan.

Memandangkan setiap daripada pemimpin parti mereka sudah menganggotai Kabinet, ujarnya.

“Dalam keadaan sekarang populariti PH semakin menurun, kerana dia tidak mungkin akan meninggalkan DAP.

“Idea itu sudah bagus, idealism (penyatuan antara parti Melayu) itu menyatukan keseluruhannya.

“(Tapi) Kita lihat dengan penubuhan kerajaan ini adalah bukan dalam kalangan orang Melayu.

“Sebab parti Melayu dalam PH ini sudah terikat, dari segi penyusunan Kabinet.

“Dari segi meletakkan ketua-ketua agensi, letakkan ketua-ketua menteri , dia akan melibatkan perkara yang lebih besar dan amat sukar,” katanya ditemui pada sesi wawancara di studio Nothing To Hide, semalam.

Sementara itu, Mohd Ali turut menyifatkan sekiranya kerjasama yang terjalin di antara UMNO dan PAS serta melibatkan parti dalam PH ianya tidak akan berkekalan.

Malah katanya, nescaya ahli-ahli parti UMNO dan PAS serta penyokongnya semestinya merasa tertipu dengan perkara ini.

Kerana pada ketika ini kerajaan PH diibaratkan sudah membuat kacau bilau mengenai tadbir urus negara, katanya.

“Kalau kata UMNO dan PAS bergabung dengan Bersatu mereka (rakyat) akan memandang rendah.

“Kerajaan tidak berkaliber, PH telah menipu rakyat tiba-tiba UMNO dan PAS pergi join pulak Bersatu,” katanya. – NTHQiBord, 27 Jun, 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.