PADA bulan Mei lalu, Malaysia digemparkan dengan tragedi akibat pencemaran sisa toksik di Pasir Gudang, Johor.

Hasil siasatan, puncanya datang daripada Sungai Kim Kim yang tercemar. Dilaporkan terdapat kira-kira 274 kilang di sepanjang jajaran sungai tersebut.

Kemudiannya, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin mengumumkan bahawa Sungai Kim Kim selamat sepenuhnya.

Namun, dalam tragedi minggu lepas, jabatan bomba mengesahkan punca kejadian sesak nafas datangnya daripada pencemaran Sungai Kim Kim.

Apa yang berlaku sebenarnya?

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melalui Ketua Pemudanya Ir Khairil Nizam Khirudin berasa curiga bagaimana tragedi ini boleh berulang dalam masa yang singkat.

Adakah disebabkan oleh proses pembersihan yang tidak lengkap atau berpunca dari sumber pencemaran yang baru?

Walaupun sebelum ini, Yeo Bee Yin mengatakan pemilik kilang terbabit akan didakwa, namun kenapakah kejadian yang sama boleh berulang?

“DPPM berharap mereka yang bertanggungjawab akan dibawa ke muka pengadilan dengan segera.”

“DPPM amat kesal di atas tragedi yang berulang ini kerana penguatkuasaan seharusnya ditangani dengan lebih efektif oleh agensi pengawalan yang bertanggungjawab,” kata Khairil dalam suatu kenyataan media.

Berdasarkan Pengurusan Bahan Buangan Terjadual Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, dan Peraturan Bahan Buangan Terjadual, 2005.

Pihak pengeluar sisa toksik wajib memaklumkan kepada pihak berkuasa dalam masa 30 hari.

Peruntukan PPBBT 2005 tersebut menetapkan garis panduan pengurusan sisa buangan terjadual secara ‘cradle to grave’ bermula dari mula sisa toksik dihasilkan sehinggalah dilupuskan secara selamat, sepatutnya dapat menghalang tragedi ini daripada berulang.

Sehingga berulangnya buat kali kedua, tiada tindakan PBT, Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Pusat terhadap kilang dan pemiliknya.

Adakah pemilik kilang kebal daripada tindakan undang-undang?

Adakah pemilik kilang ada hubungan baik dengan menteri dan parti menteri terbabit?

Jangan sampai berlaku tragedi kali ketiga dan nyawa melayang. Lainlah jika kerajaan hari ini memang tidak pedulikan masalah rakyat berbanding menjaga hati pemilik kilang terbabit. – 27 Jun 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.