DALAM pasport, terang-terang tertulis negara asalnya Republik China.

Tapi peliknya, nama lelaki yang sama juga memiliki kad ahli Persatuan Bekas Polis.

Gambar pada pasport dan kad ahli adalah sama. Begitu juga nama yang tertera.

Malah nombor pasport pemiliknya digunakan sebagai nombor kad pengenalan pada kad ahli persatuan itu.

“Bagaimana warganegara China boleh mendapatkan dan menjadi ahli Persatuan Bekas Polis?”

Itu persoalan yang dibangkitkan oleh seorang pengguna Twitter, Lovelydarshan menerusi ciapannya baru-baru ini.

Kesahihan perkara itu tidak dapat disahkan sama ada gambar itu disunting atau tidak.

Namun pemilik akaun itu juga menggesa wakil persatuan atau pihak polis untuk menjawab persoalan tersebut.

Tetapi tangkap layar ciapan Twitter itu tersebar di media sosial sejak dua hari lalu dan menimbulkan keresahan tentang kemungkinan salah laku dalam kerajaan.

Seorang pengguna Twitter bernama Chemad berkata: “Kita nak tgk siapa yg empunya angkara, siapa yg menjadi petualang negara.”

“Waaahhh…wahhh…makin melampau2 menipu sana sini. #pdrm takkan nk bior je ni. Ape2 jadi nanti susah,” kata seorang lagi pengguna, Ila Norma Jamil.

“Agaknya beliau pernah bekerjasama dgn PDRM dulu2 kot dan mungkin juga pgawai agensi interpol nak benteras jenayah brkait dgn Malaysia kt China, apa2 pun kit tggu saja lah pihak brwajib mnjelaskan,” kata PMSK DN Wan Ayie Wan Aziz.

Dalam mesej yang tersebar aplikasi WhatsApp, ada yang menyalahkan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang pernah menjadi Menteri Dalam Negeri.

Namun ada juga yang menyalahkan kerajaan baharu sebagai dalang dalam isu ini.

Tiada maklum balas dari pihak berwajib berhubung perkara itu buat masa ini. – NTHQiBord, 27 Jun 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.