SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar memberi amaran supaya tidak ada yang menjadi gunting dalam lipatan.

Amaran itu dinyatakan Sultan Ibrahim ketika merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Kedua DUN Johor Yang Ke-14 di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan, Johor Bahru.

“Rakyat akan sentiasa menilai prestasi perkhidmatan yang diberikan oleh setiap wakil rakyat. Oleh itu, tunaikanlah tanggungjawab untuk membawa suara dan kehendak rakyat, bukannya bersuara serta bertindak untuk kepentingan diri sendiri.

“Setiap wakil rakyat kerajaan haruslah memberikan pandangan baik dan sokongan padu dalam membantu Menteri Besar dan barisan pentadbirannya, bukan bertindak sebaliknya untuk memecah-belahkan kerajaan atau menjadi gunting dalam lipatan,” titah Baginda Tuanku Sultan.

Baginda juga mengingatkan semua ADUN supaya menjaga adab ketika berbahas, selain mengelakkan bercakap mengenai isu-isu parti politik atau perkara sensitif berkaitan kaum dan agama.

Baginda Sultan turut bertitah supaya menjaga tingkah laku dan tatatertib pakaian ketika berada di Dewan, serta patuh kepada peraturan yang ditetapkan.

Di samping itu, Sultan Ibrahim bertitah agar pihak pembangkang juga harus memainkan peranan untuk memastikan segala program kerajaan benar-benar memberi faedah kepada masyarakat dan dilaksanakan dengan betul serta teratur.

Ada beberapa perkara yang dititahkan baginda dapat dijadikan panduan.

Baginda tidak mahu adanya gunting dalam lipatan dalam kerajaan pimpinannya.

Kepada siapa ditujukan bukanlah soal pokoknya tetapi adanya orang bersikap demikian, bukan sahaja boleh menjahanamkan kerajaan bahkan bangsa Melayu sendiri.

Amaran itu juga boleh dilihat dalam perspektif yang luas lagi, bukan dalam konteks Johor sahaja, malah negara amnya.

Suatu hal lagi yang menarik perhatian ialah teguran baginda dalam soal tatatertib berpakaian.

Baginda sebelum ini menegur cara pakaian Salahuddin Ayub, Menteri Pertanian. Cara pemakaian tersebut hanya dibenarkan kepada kerabat diraja Johor sahaja.

Berangkat sama dalam Pembukaan Penggal Persidangan Kedua DUN Johor Yang Ke-14 itu ialah DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, YAM Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim dan YAM Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim. – NTHQiBORD 27 Jun 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.