MUKTAMAR PAS telahpun berlalu tetapi isu-isu yang berlanjutan daripadanya masih hangat diperkatakan.

Yang paling pokok tentulah isu penyatuan ummah.

Namun ada satu lagi isu yang menyebabkan salah satu parti dalam kerajaan iaitu DAP bagaikan cacing kepanasan.

Semuanya gara-gara cadangan perwakilan Dewan Muslimat PAS Pusat yang mencadangkan sekolah vernakular ditutup kerana dasar itu tidak menyumbang kepada perpaduan kaum.

Kenapa pula DAP menggelupur, sehingga buat laporan polis? Sedang itu hanyalah suatu cadangan daripada parti pembangkang, soal Syed Ahmad Fadhli, pegawai penyelidik di Pusat Penyelidikan PAS dalam Facebook beliau .

Bukankah selama ini DAP begitu ke depan melaungkan hak asasi kebebasan bersuara?

Sudah tukar kah? – meminjam kata-kata Sathiya yang melakonkan watak Ravi dalam sitcom Pi mai-Pi mai Tang tu.

Ataupun DAP sudah berubah dasar dalam isu hak asasi kebebasan bersuara ini?

Lihat sahaja apa yang berlaku pada 5 Mei 2019, Persidangan Kebangsaan DAP dilangsungkan dalam keadaan tertutup. Diulangi TERTUTUP!

Tiada liputan media dibenarkan ketika sesi perbahasan oleh perwakilan DAP.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata;

“Sekarang kita berada dalam kerajaan, kita mahu membincangkan isu-isu yang penting untuk dasar, yang perlu dirahsiakan,”.

Mereka bermesyuarat dan berbincang mengenai dasar negara yang mereka tadbir tetapi mahu dirahsiakan daripada pengetahuan orang awam. Nama sahaja parti Demokratik tetapi hakikatnya Autokratik, kata Syed Ahmad lagi.

Apakah perbincangan yang mahu dirahsiakan mereka itu?

Adakah apa-apa yang dirancangkan dalam Persidangan Kebangsaan mereka telah dilaksana, sedang dilaksana atau akan dilaksana.

Berdasarkan situasi politik semasa, ada banyak perkara aneh yang telah dan sedang berlaku.

Kalau suatu ketika dahulu DAP begitu lantang menyerang apa-apa juga yang berkaitan dengan Islam seperti isu azan, isu tudung, isu undang-undang Islam (RUU 355) dan sebagainya.

Tiba-tiba, tahun ini rajin pula tolong ganti amil agihkan zakat, berceramah dalam masjid dan beberapa perkara lagi.

Adakah itu juga sebahagian daripada rancangan dalam perbincangan tertutup itu?

Bagaimana pula dengan Isu pengurusan Tabung Haji dan dakwah kepada orang Asli.

Begitu juga dengan tindakan Timbalan Menteri Pendidikan DAP, Teo Nie Ching yang menjemput semua pihak tanpa mengira agama dan bangsa untuk masuk campur urusan rombakan silibus Pendidikan Islam Sekolah Kebangsaan (Sekolah Rendah).

Bagaimana pula dengan isu penyebaran video seks yang dikaitkan dengan Azmin Ali?

Adakah tangan-tangan DAP ada di belakangnya?

Dan yang paling besar mungkin agenda meletakkan Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-8.

Sudah ada cerita belakang tabir bahawa Anwar berjanji jika jadi PM ke-8 maka kerusi TPM akan diberi kepada DAP.

Perkara itu tidak pelik kerana Anwar pernah berjanji melantik Baru Bian menjadi Ketua Menteri Sarawak jika PH menang dinegeri itu (ketika janji dibuat masih lagi Pakatan Rakyat – tentunya tidak dipersetujui PAS ketika itu).

Agaknya apa lagi rahsia yang dibincangkan dalam Persidangan Kebangsaan mereka itu?

Oleh itu sebelum nasib umat Islam, Melayu dan bumiputera menjadi lebih parah, eloklah gerak kerja penyatuan ummah diperkuatkan segera. – 29 Jun 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.