KENYATAAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mujahid Yusof Rawa semasa lawatannya ke Xinjiang dan Beijing menggambarkan betapa terkebelakangnya pendirian Kerajaan PH berkaitan isu hak asasi masyarakat minoriti Islam.

Demikian kata Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Naib Presiden UMNO dalam suatu kenyataan media.

Beberapa hari lalu Mujahid turut memuatnaik perihal lawatannya ke Institut latihan dan vokasional masyarakat Uighur di Xinjiang.

Selepas melawat tempat tersebut, Mujahid kemudiannya menyifatkan laporan mengenai penindasan umat Islam di China sebagai ‘berita palsu dari China’ apabila berucap di Bejing Foreign Studies University.

Bagi Khaled, Mujahid seharusnya menyampaikan rasa prihatin, kesal dan protes yang sangat mendalam dalam diri umat Islam Malaysia dan dunia terhadap apa yang berlaku di Xinjiang.

Tetapi apa yang berlaku ialah beliau memberikan ‘persetujuan’ terhadap dasar penindasan yang sistematik terhadap golongan minoriti khususnya Uighur di Xinjiang.

Tindakan beliau bukan sahaja sangat memalukan, tetapi sangat melukakan hati umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia.

Pendirian Mujahid, jika tidak dijelaskan, bolehlah ditafsirkan sebagai pendirian Malaysia.

Khaled mendesak Kementerian Luar menjelaskan pendirian sebenar Kerajaan Pakatan Harapan dalam perkara ini.

Bagi Khaled hakikatnya tiada ‘pusat latihan’ di Xinjiang. Yang ada adalah ‘concentration camp’ yang mempunyai hanya satu tujuan, iaitu menghapuskan identiti, kepercayaan dan budaya golongan minoriti seperti Uighur, Kazakh, Tajik dan lain-lain.

Khaled menceritakan pengalamannya ketika di jemput menghadiri “Thematic Briefing on China’s Ethnic Minority and the Promotion of Unity and Solidarity Among Ethnic Groups in Xinjiang” anjuran Biro Antarabangsa, Parti Komunis China, pada 25 hingga 28 Feb 2019.

Hampir 200 perwakilan dari pelbagai parti politik dari seluruh dunia dijemput.

“Kami telah diberikan penerangan, dibawa melawat dan bertemu serta mendengar pelbagai penjelasan termasuk pertemuan dua hala dengan ‘Vice Minister for Internatinal Cooperation’ dan pegawai tinggi dari Biro Antarabangsa CPC.”

“Namun kami tidak dibawa melawat kem di mana hampir sejuta orang Islam ditahan,” kata Khaled.

Dalam pertemuan itu perwakilan antarabangsa telah menyatakan dengan jelas kebimbangan dan kegusaran terhadap dasar memerangi ektremisme China di Xinjiang.

“Malah kami nyatakan juga betapa program lawatan yang dianjurkan tanpa kami di bawa melihat keadaan ‘kem tahanan’ sebenar telah meyakinkan kami bahawa ada sesuatu yang ingin disembunyikan,” ujar Khaled lagi. – NTHQiBORD 29 Jun 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.