TINDAKAN Peguam Negara, Tommy Thomas menamatkan perkhidmatan Syazlin Mansor yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) dilihat mencampuri perjalanan prosiding inkues kematian Muhammad Adib Mohd Kassim.

Keputusan Tommy itu membuatkan Persatuan Pesara Pegawai Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor berasa sedih dan terkilan dengan tindakan tersebut sedangkan Syazlin telah menjalankan tugas dengan baik.

Pengerusi persatuan itu, Zainal Wagimin menggesa kerajaan melantik seorang peguam bebas dan bukan daripada Pejabat Peguam Negara (AGC) bagi mewakili dalam pendengaran inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib.

“Sebagai pesara bomba kami berasa amat sedih dan terkilan dengan tindakan berkenaan, dia (Syazlin) telah menjalankan tugas dengan baik.

“Pada hemat kami juga bomba tidak seharusnya diwakili peguam dari AGC kerana bomba seharusnya berdiri teguh bagi membela kematian anggotanya, Adib mati ketika menjalankan tugas dan kematiannya harus dibela oleh bomba dan pesalah harus dihukum,” katanya.
Iklan

Tambah Zainal, pihak bomba perlu terus perjuangkan keterangan Perunding Kanan Patologi Forensik di United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid yang mengesahkan kematian Muhammad Adib adalah disebabkan oleh perusuh.

“JBPM perlu bersatu hati menentang teori kononnya Adib dilanggar, maka amat tidak kena dan salah jika sekarang JBPM ingin menukar pendirian dan arah,” katanya.

Media melaporkan pada Rabu lepas mengenai pelantikan empat peguam baharu bagi mewakili KPKT dan JPBM dalam pendengaran inkues berkenaan.

Mereka adalah tiga Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan; Mazlifah Ayob; dan Fadzilatul Isma Ahmad Refngah dan Peguam Persekutuan Afiq Zainal Abidin.

Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun lepas dan menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis di Institut Jantung Negara. – 29 Jun 2019

1 COMMENT

  1. Persatuan pesara anggota dan penyelamat seluruh negara adalah lebih baik bergabung tenaga menuntut kebenaran bagi pihak Allahyarham Adib. Lebih baik sekiranya seluruh anggota bomba di seluruh negara dapat berkabung selama beberapa hari iaitu dengan memberhenti perkhidmatan untuk beberapa hari sebagai tanda bantahan dan berkabung untuk menegakkan kebenaran bagi arwah Adib

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.