PRESIDEN Filipina Rodrigo Duterte sudah mula menunjukkan belangnya apabil mengugut untuk menyumbat pihak pembangkang ke dalam penjara jika ada yang cuba menyingkirnya.

“Saya? Akan disingkirkan? Saya akan penjarakan mereka semua.

“Saya cabar kamu buat. Kamu betul-betul nak cuba saya?

“Buatlah. Sila, failkan (penyingkiran),” katanya.

Duterte dikatakan menyebelahi China dalam kejadian 9 Jun sebuah bot nelayan Filipina ditenggelamkan sebuah kapal China di Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Filipina.

Beliau dilaporkan berkata kejadian itu adalah kemalangan dan bukanlah disengajakan – senada seperti kenyataaan Beijing- dan turut memandang ringan kehadiran nelayan China di EEZ Filipina.

Katanya, dia mengizinkan kehadiran mereka di kawasan tersebut atas faktor “persahabatan”.

Beberapa pengkritik berprofil tinggi, termasuk hakim tertinggi dan bekas menteri luar, mendakwa Duterte telah melanggar perlembagaan dan layak untuk disingkirkan.

Satu laporan oleh Anggota Parlimen Asean Untuk Hak Asasi Manusia (APHR) mengkritik kenyataan Duterte itu dan menganggapnya sebagai ancaman satu bentuk retorik agresif, selain merupakan ugutan melampau terhadap pihak pembangkang.

Malah, mereka turut menyifatkannya sebagai tindakan yang “sengaja mahu mendiamkan pengkritik dan melemahkan langkah semak dan imbang”.

Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi PBB, Michelle Bachelet turut berpendapat terdapat risiko keganasan untuk penduduk Filipina yang menyuarakan pandangan mereka, yang dibuat secara terbuka oleh pegawai kerajaan. – 29 Jun 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.