KETUA Dewan Ulama Pas, Nik Muhammad Zawawi Salleh menyatakan kesediaan berdialog dengan mana-mana pemimpin dari Pakatan Harapan (PH) selepas kontroversi ‘fatwa’ wajib menjatuhkan kerajaan komponen parti itu yang diucapnya baru-baru ini.

Ini susulan cabaran yang dikemukakan oleh pendakwah bebas Wan Ji Wan mahu berdialog dengan Nik Zawawi untuk membicarakan kewajarannya mewajibkan penyokong PAS menjatuhkan kerajaan PH.

Meskipun tidak menghubungi Nik Zawawi mengenai hasratnya itu, Wan Ji yang juga bekas anggota Dewan Ulama PAS Selangor mengharapkan supaya ada badan bebas atau stesen televisyen yang rela menganjurkan dialog tersebut.

Nik Zawawi juga dilihat bersetuju dengan cadangan Wan Ji apabila turut meletakkan syarat agar dialog itu dibuat secara terbuka dan disiarkan secara langsung di televisyen atau tempat terbuka seperti stadium.

“Saya bersedia untuk berdialog dengan mana-mana pihak dari kerajaan PH pada bila-bila masa secara terbuka di televisyen dengan syarat mesti disiarankan secara langsung atau di tempat terbuka seperti stadium dan seumpamanya.

“Insya-Allah saya akan jelaskan apa nas dan dalil secara terperinci melalui kaedah dalam agama,” katanya hari ini.

Pada ucapan penutup Muktamar Tahunan Pas pada 23 Jun lalu, Nik Zawawi menegaskan bahawa wajib untuk parti itu menjatuhkan kerajaan PH dan tiada sebarang khilaf mengenai kedudukan itu.

Dalam pada itu Nik Zawawi berkata, melalui dialog berkenaan beliau menjelaskan dengan lebih lanjut berhubung kenyataanya itu.

“Ia bagi menjelaskan kenyataan saya bahawa kerajaan PH mesti dijatuhkan dan diganti dengan sebuah kerajaan yang mendaulahkan di dalamnya syariat Islam serta melaksanakan hukum-hukum Allah yang menjadi rahmat kepada sekalian alam,” tambahnya.

Jelas Zawawi mana-mana kerajaan yang wujud menyimpang dari landasan agama tidak menegakkan daulah Islamiah dan tidak melaksanakan syariat Allah wajib dijatuhkan mengikut hukum syarak. – 30 Jun 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.