LAGI berita panas membabitkan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Beberapa individu dikesan sebagai ‘scammer‘ menyamar sebagai Menteri dan pegawai kanan kementerian itu untuk mengutip wang daripada kontraktor.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang menerima aduan mengenai perkara itu berkata ‘scammer’ tersebut meminta wang daripada kontraktor kantin sekolah serta universiti, dan ia berlaku di negeri Perak, Johor, Sabah, dan Kedah.

“Ada pihak tertentu mengaku sebagai pegawai saya, Ketua Setiausaha kementerian, Setiausaha Politik dan meminta kontraktor bayar wang untuk dapatkan tender.

“Kementerian Pendidikan tak pernah ada pegawai yang ditugaskan untuk kutip duit daripada kontraktor.

“Saya juga tak pernah melantik pegawai untuk kutip duit daripada kontraktor. Itu salah, rasuah dan salah guna kuasa,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Susulan itu, Maszlee berkata, sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai penyamaran itu, disarankan supaya membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). – NTHQiBord, 1 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.