SEJAK Januari 2019, PDRM berjaya menahan 14,759 individu termasuk menangkap 92 pengendali premis serta merampas RM3.8 juta dan 10,361 peralatan dalam serbuan ke atas 8,775 premis judi tidak berlesen.

“PAS mengucapkan tahniah atas kejayaan PDRM tersebut.”

“Usaha dan kejayaan ini dilihat selari dengan komitmen yang disuarakan oleh Ketua Polis Negara (KPN), DS Abdul Hamid Bador untuk membanteras jenayah judi di negara ini,” kata Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali, Ahli Parlimen Kuala Nerus.

Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa judi sama ada secara berlesen atau tidak, tetap haram dan salah dalam semua agama mahupun budaya kemanusiaan.

“Saya mengelak menggunakan istilah “judi haram” yang selalu digunakan oleh media bagi merujuk kepada “judi tidak berlesen” untuk mengelakkan salah faham masyarakat bahawa hanya judi tidak berlesen adalah “haram”, manakala yang berlesen pula adalah “halal”,” katanya lagi.

Perolehan cukai tidak menghalalkan aktiviti judi yang haram pada agama meskipun halal pada undang-undang negara malah ia menjadi baja menyuburkan judi tidak berlesen pula.

Beliau bersetuju dengan ungkapan KPN bahawa “judi ibu segala jenayah”.

Oleh itu ungkapan itu wajar diberi perhatian serius dan difahami sebagai semua bentuk perjudian tanpa mengambil kira sama ada ia dijalankan secara berlesen ataupun tidak.

Untuk makluman, sebaik sahaja PAS menguasai kerajaan Kelantan pada tahun 1990, antara perkara pertama yang dilakukan ialah menarik balik lesen premis kedai judi.

Walaupun tindakan Kelantan ini mendapat kritikan daripada pemilik syarikat judi besar seperti Magnum Corporation, Sports Toto dan sebagainya, namun akhirnya mereka akur dengan pilihan kerajaan dan rakyat Kelantan. – 1 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.