MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof digesa memohon maaf dan meletak jawatan.

Gesaan itu dibuat kerana tindakan Mujahid yang dianggap tidak peka dengan isu yang menimpa masyarakat Uighur di China.

“Saya merasakan beliau sama ada tidak meneliti berita sebenar mengenai nasib umat Islam Uighur.”

“Sedangkan banyak penulisan mengenai perkara itu diterbitkan termasuk dalam jurnal akademik.”

“Atau beliau hanya menyuarakan pendirian rasmi Kerajaan Malaysia mengenai perkara ini sesuai dengan kedudukan beliau sebagai seorang Menteri,” soal Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali, Ahli Parlimen Kuala Nerus dalam suatu kenyataan media.

Minggu lepas Mujahid dibawa oleh Kerajaan China melawat pusat latihan dan vokasional.

Selepas lawatan yang dirancang itu, Mujahid menyifatkan laporan mengenai penindasan umat Islam di China sebagai ‘berita palsu dari China’.

Bagi Khairuddin, kenyataan Mujahid itu amat mendukacitakan kerana memperlihatkan sokongan beliau kepada dasar penindasan umat Islam di Xinjiang.

Sedangkan, apa yang berlaku tehadap kaum Uighur telah mendapat perhatian pelbagai pihak pada peringkat antarabangsa.

Ekoran itu juga, Khairuddin mengesa Wisma Putra segera menjelaskan sama ada kenyataan Mujahid mewakili pendirian dan dasar rasmi Kerajaan atau ia hanya kenyataan peribadi.

Jika ia adalah kenyataan peribadi, maka amat wajar Kabinet mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada Menteri itu dan beliau mesti segera memohon maaf kepada rakyat Malaysia atau meletakkan jawatan.

Sebelum inipun beberapa pertubuhan bukan kerajaan seperti ABIM telah mengesa kem tahanan terbabit ditutup.

Uyghur Freedom Movement juga awal-awal mengecam apa yang dilakukan oleh Mujahid dalam mengiyakan propaganda China.

Bahkan apa yang berlaku terhadap Muslim Uighur telah didokumentarikan untuk menarik perhatian dunia.

Bagaimanakah dengan semua pendedahan itu Mujahid dengan mudah terpedaya oleh lawatan terancang oleh kerajaan China itu? – NTH QiBORD 1 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.