MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Mujahid Yusof mengatakan bahawa tiada keperluan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan salah laku dalam pengurusan Tabung Haji (TH).

Walaupun didesak oleh pembangkang di Parlimen, Mujahid kekal dengan pendirian tersebut dan mendakwa rakyat tidak resah dengan isu itu.

Namun, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menyenaraikan 10 perkara yang memerlukan penjelasan Mujahid.

Saya ingin bertanya kepada semua rakyat di sini:

1. Benarkah Rakyat tidak kisah dengan Hibah 1.25% setahun sedangkan semasa BN memerintah purata Hibah tahunan adalah 6.75%?

2. Benarkah rakyat tidak kisah dengan tuduhan PH bahawa wujud penyelewengan oleh Kerajaan BN yang telah mengakibatkan Tabung Haji rugi RM17.8 bilion?

3. Benarkah rakyat tidak kisah dengan akaun TH yang didakwa telah dimanipulasi sehingga menampakkan tiada sebarang defisit untuk tahun 2017?

4. Benarkah rakyat tidak kisah dengan tuduhan Kekanda bahawa akaun TH telah dipalsukan untuk menutup defisit RM4.1 bilion?

5. Benarkah rakyat tidak kisah dengan dakwaan bahawa defisit RM4.1 bilion yang dialami TH kerana dirompak atau dicuri oleh BN?

6. Benarkah rakyat tidak kisah wang mereka berjumlah RM17.8 bilion digunakan untuk bail-out atau sebagai suntikan dana kepada TH sedangkan sejak puluhan tahun di bawah BN tidak pernah kerajaan terpaksa berbuat demikian?

7. Benarkah rakyat tidak kisah dengan penjualan aset-aset strategik TH termasuk bernilai RM10 bilion kepada Syarikat SPV Urusharta Jemaah Sdn Bhd?

(Nota: Antara hartanah bernilai yang dijual termasuklah Tanah TRX yang dibeli pada harga RM196 juta dan dijual pada harga RM400 juta; Platinum Park dijual pada harga RM737 juta sedangkan harga belian RM485 juta; ini tidak termasuk hotel-hotel TH yang turut dijual di TH Bayan Lepas, TH Kuching, TH Hotel Kelana Jaya, TH Hotel Kota Kinabalu, TH Hotel Alor Setar, TH Hotel Terengganu).

8. Benarkah rakyat tidak kisah ke mana dibelanjakan baki keuntungan RM5.8 bilion hasil penjualan aset-aset berharga TH kepada Syarikat SPV Urusharta Jemaah Sdn Bhd?

9. Benarkah rakyat tidak kisah dengan dakwaan Kekanda sebelum ini yang mengaitkan pelbagai kerugian pelaburan Tabung Haji yang dikaitkan dengan penyelewengan dan pelbagai salah laku seperti TH Heavy Engineering, Putrajaya Perdana, FGV dan PT TH Indo Plantation di Riau?

10. Benarkah rakyat tidak kisah apabila Sukuk yang diterbitkan untuk mengumpul dana dengan penjualan aset-aset TH hakikatnya TIDAK DIJAMIN KERAJAAN?

Apakah jaminan bahawa aset-aset yang dijual oleh TH kepada Syarikat Urusharta Jamaah Sdn Bhd mampu ditebus pada nilai yang sepatutnya dan tidak merugikan pendeposit TH pada masa depan?

Asyraf turut mempertikaikan kenapa Kerajaan PH takut untuk menubuhkan RCI mengenai TH yang bebas sebagaimana janji manifesto mereka?

Sepatutnya, jika tidak ada apa-apa yang mahu disorok dan benar-benar ada penyelewengan ketika zaman UMNO-BN, tentunya penubuhan RCI disokong oleh PH. – 2 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.