GENAP 400 hari DAP-PH berkuasa, sekurang-kurangnya RM20 bilion aset negara telah dijual.

Secara purata, setiap hari, RM51 juta aset negara dijual, bersamaan dengan RM2.1 juta aset negara terjual setiap jam di bawah PH, kata Abdul Muein Abadi, Pensyarah Program Sains Politik UKM.

Kesemua aset ini termasuklah sebahagian pegangan dalam IHH Berhad (RM8.42 bilion), Sapura Upstream (RM3.7 bilion), Acibadem Sigort (RM1.25 bilion), Telco M1 (RM1.65 bilion), saham TNB (RM1.05 bilion), dan Boustead Plantation (RM1.2 bilion).

Selain itu Axiata Digital (RM0.579 bilion), BDO Unibank (RM0.415 bilion), CIMB (RM0.364 bilion), Hotel Royale Chulan (RM0.197 bilion).

Juga bangunan Konsulat di Hong Kong yang telah pun mempunyai pembeli dari China (RM1.6 bilion).

Jumlah keseluruhannya sekurang-kurangnya RM20.425 bilion.

The Edge Markets turut melaporkan bahawa DAP-PH kini merancang untuk terus menjual aset Khazanah iaitu UEM Sunrise, UEM Edgenta, UEM Builders, Cement Industries of Malaysia (CIMA), Projek Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS).

Juga pegangan dalam Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) serta Malaysia Airlines Berhad (MAB atau lebih dikenali sebagai MAS)

Menurut Abdul Muein, yang paling menimbulkan persoalan tentulah penjualan IHH Berhad kepada Jepun pada bulan November 2018 dengan harga RM8.42 bilion.

Sedangkan menurut beliau keuntungan IHH Berhad naik lima kali ganda untuk suku ke-4 2018 berbanding tahun sebelumnya.

Tidak cukup dengan penjualan aset ini, rakyat Malaysia dikejutkan pula dengan pengumuman Khazanah Nasional melantik ahli lembaga pengarah baharu dari China iaitu Prof Xiao’ou Tang.

Pelantikan ini menandakan buat pertama kalinya Khazanah melantik warga asing di posisi yang teramat penting ini.

Kerajaan DAP-H hari ini bukan sahaja bertindak menjual aset negara secara besar-besaran – terutama sekali kepada pihak asing, tetapi juga melantik pihak asing yang berpengaruh dari kuasa besar ke posisi yang cukup strategik dalam badan pelaburan dan pembangunan ekonomi negara.

Abdul Muein berpendapat, dari perspektif geopolitik, kedua-dua langkah ini tidak strategik untuk kepentingan negara dalam jangka masa panjang.

Beliau menyifatkan langkah kerajaan DAP-PH hari ini dipandu ideologi ekonomi neoliberal.

Neoliberal menitikberatkan pengurangan tanggungjawab dan saiz kerajaan – termasuklah alasan mengurangkan hutang yang sebenarnya tidak menjanjikan kemakmuran – sama sekali tidak mengambil kira kepentingan strategik negara untuk jangka masa panjang.

Beliau menggesa kerajaan DAP-PH segera menghentikan amalan penjualan aset negara dan menyemak kembali pelantikan warga asing ke posisi strategik seperti di Khazanah.

‘Gunung yang tinggi akan runtuh jika setiap hari digali’. – 2 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.