PERTIKAIAN nombor pendaftaran yang digunakan oleh kerajaan diraja Johor akhirnya mendapat perhatian sayap parti Bersatu, Armada Johor.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Labis dari DAP, Pang Hok Liong mempersoalkan status pendaftaran kenderaan oleh kerabat diraja Johor di Parlimen semalam sama ada nombor plat itu berdaftar dengan JPJ atau tidak.

Soalan itu menimbulkan kemarahan pembangkang Johor sehingga Ketua Pembangkang Johor Hasni Mohammad cuba membawa usul tergempar di Dewan Undangan Negeri dengan mendakwa Pang menghina Sultan Johor.

Ekoran itu, ketua Armada Johor Norul Haszarul Abu Samah meminta menteri besar, pengerusi Bersatu dan DAP agar menegur sikap pemimpin DAP itu.

Malah katanya semua wakil rakyat PH di Johor juga wajar diberi peringatan agar tidak menyentuh dan mempersoalkan keistimewaan institusi istana.

“Bagi Armada Johor kenyataan seumpama ini seolah-olah satu rentetan yang disusun secara rapi bagi menghalakan isu kepada institusi istana Johor.

“Justeru itu, besar harapan saya agar Mazlan Bujang, selaku Pengerusi Bersatu Johor serta Datuk Dr Shahruddin Jamal (menteri besar) serta Senator Liew Chin Tong (pengerusi DAP Johor) menegur dengan tegas dan penuh berprinsip terhadap tindakan Ahli Parlimen Labis,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, Hazsarul berkata, wakil rakyat yang dipilih seharusnya menjadikan Parlimen sebagai ruang untuk membawa suara kepentingan rakyat khususnya isu-su ekonomi, keadilan sosial, akses pendidikan untuk semua bangsa serta memperkasakan agenda bangsa dan agama.

Tambahnya lagi, kesetiaan rakyat negeri Johor tidak berbelah lagi terhadap sultan dan tunku mahkota Johor.

“Institusi istana Johor sering memainkan peranan dalam mengimbangi kuasa politik dan memastikan pentadbiran yang cekap dan peduli rakyat sentiasa dijalankan tanpa mengira latar bangsa, agama dan politik,” katanya lagi. – 1 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.