UMNO diseru supaya jangan hilang fokus, terutama ketika Regim Pakatan Harapan (PH) yang haru biru dan sedang mengalami pergolakan dalaman yang kronik.

Seruan itu dibuat oleh Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

Asyraf tidak mahu pengumuman Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk kembali bertugas selaku Presiden UMNO setelah bercuti mencetuskan polemik baru.

Yang dilakukan oleh Zahid selaras dengan Perlembagaan Parti dan hak mutlak beliau selaku Presiden Parti yang sah

Asyraf mahu ahlinya terus fokus kepada dua isu besar iaitu menumpukan usaha membela nasib rakyat yang kian sengsara dengan pelbagai dasar PH yang menyusahkan mereka.

Keduanya difokuskan kepada usaha penyatuan ummah dan kerjasama UMNO-PAS yang amat didambakan rakyat, demi mempertahankan martabat Agama dan maruah Bangsa yang semakin terobek di bawah Regim PH.

Ahmad Zahid kini berdepan 87 pendakwaan rasuah dan pecah amanah.

Pada 19 Oktober dan 14 Disember 2018 serta 20 Februari lalu, Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap 47 pertuduhan dengan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Ekoran itu Zahid telah bercuti ke suatu tempoh yang tidak dinyatakan dan jawatan Presiden UMNO dipangku oleh Datuk Seri Mohamed Hasan.

Beberapa hari lalu Zahid berhadapan pula dengan 40 lagi pertuduhan termasuk menerima suapan berjumlah RM42.76 juta berhubung Sistem Visa Luar Negara antara 2014 hingga 2017.

Beberapa bulan lalu, veteran PAS, Datuk Mustafa Ali menasihatkan supaya Datuk Seri Najib dan Zahid supaya tidak terbabit dalam perjawatan dalam parti.

Hal ini kerana kedua-dua pemimpin tertinggi UMNO itu sedang berhadapan dengan kes mahkamah.

Nasihat itu untuk menunjukkan agar UMNO baharu telah memulakan langkah tranformasi dalaman parti.

Nasihat Mustafa itu hakikatnya terpakai kepada semua pihak terutamanya parti politik termasuk PAS.

Walaupun dari segi undang-undang ia tidak salah, tetapi dari segi persepsi moral adalah sebaliknya.

Jika UMNO atau PAS tegas dalam aspek tersebut, ia dapat menunjukkan suatu sikap tanggungjawab berbanding parti komponen PH.

Tentunya desakan yang mahu pemimpin PH seperti Azmin yang terlibat dalam kes video bercuti menjadi relevan.

Jika tidak, rakyat akan berkata, tidak ada bezanya antara kedua parti ini secara prinsipnya. – NTHQiBORD 2 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.