SIDANG Dewan Rakyat berlangsung panas hari ini.

Ini gara-gara pertikaman lidah yang tercetus antara Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming.

Segalanya bermula apa Tajuddin tidak berpuas hati dengan tindakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub yang keluar dewan lebih awal tanpa menunggu soalan lanjut daripadanya.

Soalan awal Tajuddin mengenai Program Tanaman Kontan itu bagaimanapun dijawab oleh Timbalan Menteri, Sim Tze Tzin.

Ketika mahu bertanya soalan tambahan, Tajuddin terlebih dahulu mempersoalkan tindakan Salahuddin dan tindakannya itu ditegah oleh Kor Ming.

Kor Ming berkata Tajuddin membuang masa dan tidak membenarkan Ahli Parlimen Pasir Salak meneruskan peluang untuk bertanyakan soalan tambahan.

Keadaan itu membuatkan Tajuddin tidak mematuhi arahan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan perang mulut antara kedua-dua mereka mengambil masa hampir 15 minit.

Akhirnya Kor Ming menggunakan Peraturan Mesyuarat 44 (2) untuk menghalau Tajuddin keluar selama dua hari.

Namun disebabkan masih enggan meninggalkan sidang mesyuarat, Kor Ming memerintahkan tempoh penggantungan itu dari dua hari menjadi empat hari.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Ismail Sabri kemudiannya bersuara mempertikaikan tindakan Kor Ming membuat keputusan yang tidak konsisten untuk menghukum Tajuddin.

Selepas hampir 30 minit bertikam lidah, akhirnya keadaan terkawal apabila Ismail meminta Nga Kor Ming berkompromi dalam isu tersebut.

Bagaimanapun, Tajuddin berkeras dan terus kekal menyertai persidangan yang berlangsung.

Ikuti siaran langsung Sidang Dewan Rakyat di saluran Nothing To Hide Media.– 3 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.