CADANGAN agar semua Ahli Parlimen mengisytiharkan harta sama ada di pihak kerajaan mahu pun pembangkang mendapat perhatian banyak pihak.

Antara yang turut memberikan pandangan ialah Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Bagi beliau, Ulul Amri (Pemerintah) merupakan ‘amil zakat yang berkewajipan memastikan mereka yang wajib membayar zakat, menunaikan tanggungjawab mereka.

Jika agama melarang muslim mengistiharkan harta, pastilah muslim tidak boleh membayar zakat kepada ‘amil zakat kerana itu menyebabkan jumlah hartanya diketahui.

Maka, dakwaan bahawa Islam tidak membenarkan jumlah harta seseorang dimaklumkan kepada pihak pemerintah adalah batil dan tidak berasas.

Beliau juga menyatakan bahawa antara pendekatan memastikan integriti urus tadbir pemerintahan Khalifah ‘Umar bin al-Khattab ialah memeriksa harta pegawai-pegawai yang dilantik dan mencatatkannya.

Ini bagi mengawal supaya mereka tidak mengambil kesempatan mengumpul harta dengan cara yang salah melalui jawatan yang dipegang.

Polisi ini telah lama dijalankan oleh Saidina ‘Umar bin al-Khattab dalam pentadbirannya.

Beliau melahirkan kebimbangan dakwaan yang menyatakan Nabi SAW tidak membenarkan orang politik mengistiharkan harta.

Pada sesi sidang Dewan Rakyat, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man tidak bersetuju dengan pembentangan usul tersebut oleh Datuk Liew Vui Keong di Dewan Rakyat.

Bagi Tuan Ibrahim, pengisytiharan itu sepatutnya hanya terpakai kepada Ahli Parlimen daripada parti pemerintah.

Hal ini kerana menurut beliau pembangkang tiada akses untuk mendapatkan projek daripada kerajaan, jadi apa keperluan untuk isytihar harta.

Berbanding pihak kerajaan, cadangan itu betul sebab mereka ada akses untuk dapat projek.

Tuan Ibrahim berpendapat, apabila seseorang mengisytiharkan harta, keselamatan individu yang mengisytihar termasuk keluarga dan sebagainya perlu diambil kira.

PAS hanya akan bersetuju jika ada keperluan yang munasabah usul tersebut.

Hakikatnya, pandangan yang diberikan oleh Tuan Ibrahim dan Dr Asri itu tidak bertentangan antara satu sama lain.

Cuma sudut melihat dan menilai itu perlu diambil kira. Jika cadangan itu munasabah suatu masa nanti mungkin akan diminta para mufti juga mengisytiharkan mereka termasuk Mufti Perlis. – 3 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.