SAKSI kes perbicaraan SRC International Sdn Bhd, Datuk Suboh Md Yassin tidak konsisten dalam memberi keterangan kepada mahkamah berhubung kes penyelewengan dana RM42 juta anak syarikat 1Malaysian Development Berhad (1MDB) itu.

Bekas pengarah bukan eksekutif SRC International itu dilihat memberi keterangan yang mengelirukan berhubung tandatangannya dalam semua 17 surat arahan pemindahan wang melibatkan akaun SRC Interntional dan beberapa syarikat lain.

Sebagai rekod, Suboh pernah memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 27 November 2015 di Abu Dhabi, Emeriyah Arab Bersatu melibatkan pemindahan wang itu.

Ketika itu, beliau mengakui itu adalah tandatangannya dalam semua dokumen pemindahan wang tersebut selepas ditunjukkan SPRM.

Kemudian selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Suboh memberi keterangan berbeza dalam siasatan SPRM berhubung kes penyelewengan SRC International.

Pada 28 dan 30 Mei 2018, beliau mendakwa tidak menandatangani kesemua dokumen itu.

Tetapi lima bulan kemudian pada 13 Ogos 2018, Suboh sekali lagi menimbulkan kekeliruan apabila mengakui beliau menandatangani dokumen terbabit.

Pada Isnin lalu, Suboh memberi keterangan sebagai saksi ke-42 kes perbicaraan Datuk Seri Najib Razak, mendakwa bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Nik Faisal Nik Ariff memalsukan tandatangannya dalam kesemua dokumen itu.

Bagaimanapun apabila ditanya sekali lagi oleh pasukan peguam Najib berkenaan pemalsuan dokumen itu, Suboh menjawab: “Saya tidak ingat.”

Beliau turut terkejut apabila ditunjukkan surat perjanjian pelaburan bertarikh 25 Julai 2014 antara syarikat Gandingan Mentari dan Putra Perdana Construction Sdn Berhad oleh peguam Najib.

Perjanjian itu melibatkan pelaburan perniagaan di Brazil yang ditandatangani oleh beliau sendiri sebagai pengarah Gandingan Mentari manakala Putra Perdana Construction diketuai oleh Datuk Rosman Abdullah.

“Saya tidak pernah melibat dokumen ini,” katanya kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.

Keterangan tidak konsisten ini dilihat mengelirukan dan membangkitkan persoalan terhadap kredibiliti Suboh sebagai saksi kes penting ini.

Bagaimanapun, pihak peguam Najib tidak mengemukakan ‘impeachment’ (mencabar kelayakan) Suboh sebagai saksi dalam perbicaraan itu. – NTHQiBord, 3 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.