WALAUPUN sudah meninggalkan PAS, Menteri Pertahanan, Mohamed Sabu (Mat Sabu) masih terkenang-kenang bait-bait nasihat bekas ketuanya itu suatu masa dahulu.

Mat Sabu menggunakan kata-kata nasihat Presiden PAS itu dalam mempertahankan hujahnya dalam sesi perbahasan di Parlimen.

Ia bagi menjawab soalan tambahan daripada Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang bertanyakan apa yang dimaksudkan ‘we can’t fight them’ oleh Mat Sabu pada Sidang Kemuncak Keselamatan Asia Ke-18 di Singapura baru-baru ini

“Sejak dahulu lagi Malaysia mengamalkan konsep dasar dua hala dengan negara luar.

“Maksud ‘fight’ ialah berperang. Adakah kita bersedia untuk berperang terutamanya dengan negara kuasa besar.

“Ya, kita boleh bercakap, saya semasa pembangkang dahulu pun saya memang lebih hebat bercakap daripada yang sana (pembangkang) tetapi kita kena lihat keupayaan dan kalau boleh dahului perdamaian kenapa kita memilih perperangan,” katanya.

“Ini yang disebut oleh bekas pemimpin saya dahulu daripada Marang (Datuk Seri Abdul Hadi Awang), iaitu kita dahulukan pendamaian daripada peperangan.

“Kalau kita kata nak berperang kita tunjuk kekuatan, kalau kita tidak kuat akhirnya kita akan dipermainkan sebab itu kita dahulukan dialog, dahului diplomatik sebab nak elak perang,” katanya.

Tindakan ini dilihat bahawa beliau masih bersandarkan kepada bekas ketuanya bagi mempertahankan diri dan menguatkan hujahnya.

Tidak pasti jika masih ada “perasaan sayangnya” kepada bekas partinya dahulu.

Mat Sabu buat pertama kalinya hadir sebagai Menteri Pertahanan dalam Sidang Kemuncak Kesalamatan Asia Ke-18 di Singapura.

Ucapan beliau mendapat liputan luas media antarabangsa berikutan kelemahan berbahasa Inggerisnya, di samping penggunaan pepatah Melayu yang diterjemahkan secara langsung ke dalam Bahasa Inggeris.

Ucapan beliau juga menjadi kritikan penganalisis politik dan ketenteraan kerana dikatakan beberapa fakta yang diberikan tidak tepat.

Sebelum ini, beliau pernah dikecam kerana mendedahkan kelemahan dan kekurangan tentera Malaysia dalam sesi perbahasan di Parlimen. – 3 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.