IRFAN Wafiy Idham Wazir, 12, sebelum ini aktif melakukan aktiviti sukan bagi menikmati zaman kanak-kanaknya.

Namun tidak selepas kejadian pencemaran Sungai Kim-Kim di Pasir Gudang.

Irfan dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru setelah sukar untuk bernafas disyaki akibat terhidu gas beracun semasa sesi persekolahan.

“Doktor pakar neurologi suruh dia berjalan, dia tak boleh berjalan. Saya kena pimpin dia. Ada satu ketika sewaktu saya bawa ke tandas, saya terlupa yang dia tidak lagi boleh berjalan dengan normal, dia jatuh dalam tandas,” kata ibu kepada Irfan, Norlela Abu Hashim.

Irfan juga terpaksa dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan hasil pemeriksaan mendapati anaknya itu positif Myokymia akibat terhidu gas beracun yang mengakibatkan kegagalan fungsi paru-parunya.

Akibat kecuaian pihak tidak bertanggungjawab, masa depan Irfan kini samar.

Apa yang lebih perit, ibu bapa Irfan terpaksa mengeluarkan kos belanja sendiri untuk merawat Irfan tanpa bantuan kerajaan dan juga pihak pengilang.

Menteri gagal

Apa yang mengecewakan, sehingga hari ini Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin gagal mewakili pelajar, guru dan ibu bapa untuk menyaman mereka yang bersalah agar keadilan berada pada tempat yang sepatutnya.

Yeo Bee Yin juga gagal memastikan Pasir Gudang berada di paras yang selamat.

Sebaliknya, dia terus menyalahkan netizen kerana mendedahkan perihal kilang yang didakwa milik suaminya di Pasir Gudang dan bertindak mahu menyaman sesiapa sahaja yang mengaitkan suaminya dengan isu pencemaran Pasir Gudang.

Seperti dinasihatkan ketua pembangkang Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad, Bee Yin perlu porfesional dan tidak mencampur aduk urusan peribadi dengan tugas awam.

Jika Yeo Bee Yin benar-benar komited, insiden kali kedua dan ketiga tidak akan berlaku dan tiada isu ibu bapa pelajar begitu marah pada Yeo Bee Yin seperti yang berlaku di Townhall Bersama Menteri Alam Sekitar di Johor baru-baru ini.

Pengilang tidak bertanggungjawab

Sudah tentunya yang paling bersalah dalam hal ini adalah pengilang yang rakus dan tidak bertanggungjawab.

Penahanan beberapa orang suspek pada Mac 2019 nampaknya tidak mengembirakan mangsa dan rakyat Malaysia kerana kejadian masih berlaku lagi pada akhir Jun 2019.

Pengilang langsung tidak meminta maaf dan membayar apa-apa ganti rugi, serta langsung tidak mengadakan apa-apa sidang media untuk menjelaskan apa yang berlaku.

Pembelaan

Apa yang berlaku kepada Adik Irfan masih belum mampu membuka mata mana-mana pihak agar berfikiran waras dalam melakukan apa-apa pertimbangan.

Mereka (pihak kilang) menganggap kejadian yang berlaku masih sekadar ‘ringan-ringan’ sedangkan kesan gas beracun membawa kepada pembentukan gas  acrylonitrile, xylene, metana dan toluene yang boleh menyebabkan loya, pengsan, kerosakan saraf kepala dan kesukaran bernafas yang teruk.

Sehubungan itu, Irfan dan penduduk yang terjejas seharusnya diberikan pembelaan yang sewajarnya dan kerajaan perlu menghukum pihak terlibat dengan tegas agar masalah yang sama tidak berulang. – NTHQiBORD 4 Julai 2019

*Video ihsan Berita TV9*

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.