SEMASA Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri ke-4, saya melihat ada beberapa kepincangan.

Antara isu yang mendapat perhatian saya ialah salah laku mengutamakan kroni dan isu mempertikaikan tentang janggut Rasulallah.

Bagi saya, isu ini besar. Maka saya menegur Tun Mahathir dan menyatakannya di pentas yang betul iaitu dalam Perhimpinan Pemuda UMNO Malaysia di PWTC.

Ketika Anwar dipecat, saya bersama Parti Keadilan Nasional (sekarang Parti Keadilan Rakyat) dan menjadi salah seorang pengasasnya.

Dalam PKN, saya ada jawatan dan ada kedudukan. Tetapi apabila ada keraguan tentang Anwar Ibrahim, secara peribadi saya nyatakan di dalam mesyuarat dan saya tulis surat kepada Anwar di penjara.

Apabila Anwar mengarahkan gabungan dengan Parti Rakyat Malaysia ketika itu, saya membantah dan meletakkan semua jawatan dalam parti.

Akhirnya, saya yakin bahawa Anwar ada melakukan salah laku moral saya keluar parti.

Saya tidak pasti sama ada saya ahli UMNO atau tidak tetapi saya secara terbuka juga mengeluarkan kenyataan tentang ketidakpercayaan saya terhadap urus tadbir 1MDB dan juga tidak bersetuju saya terhadap Zahid Hamidi.

Banyak yang saya tulis dalam Facebook terutama tentang pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa perkara lagi, sehingga hanya beberapa kerat orang UMNO terutama pemimpin UMNO suka kepada saya.

Walau bagaimanapun saya tidak pula keluar parti UMNO lagi untuk bersama Bersatu atau PH.

Tahun 1999 dahulu saya juga tidak keluar UMNO tetapi saya dipecat oleh Tun Mahathir selaku presiden ketika itu.

Dalam Kes Anwar dan sekarang Azmin pula, saya berpendapat Allah berkehendak menunjukkan sesuatu kepada seluruh rakyat Malaysia, bahkan dunia tentang perkara tersembunyi mereka.

Tentunya, saya bukanlah insan yang sempurna, begitu juga berbilion insan lain yang ada aib masing-masing.

Namun kita bersyukur kerana Allah pelihara aib kita daripada terdedah.

Adalah sesuatu yang pelik dalam kalangan penyokong PH terutama PKR yang masih tidak nampak dalam kes video Azmin.

Apakah apabila seseorang itu berjawatan menteri beliau dianggap bersih dan suci?

Tidak perlu menunggu sehingga dibuat laporan polis untuk menyatakan kebenaran, berani kerana benar!

Pada hemat saya, Azmin turut terpalit dalam kes ini.

Kita boleh nampak dengan jelas jika kita tidak bersalah melalui cara kita menangani fitnah dan serangan ini, berbanding jika bersalah dan hanya mahu menyelamatkan diri.

Apakah Tun Mahathir dan Ketua Polis Negara telah menutup rapat pintu kebenaran?

Tak kan semua perkara politik diutamakan berbanding Islam. – 4 Julai 2019.

HAMDAN TAHA
Penganalisis politik

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan NTHQiBord*

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.