BUDAYA ugut-mengugut sepatutnya tidak dibawa ke dalam politik baharu pasca PRU 14.

Datuk A Kadir Jasin baru-baru ini meminta pihak pengurusan UKM mengambil tindakan terhadap pensyarahnya Abdul Muein Abadi kerana dikatakan memfitnah kerajaan DAP-PH.

Benarkah pensyarah terbabit memfitnah kerajaan DAP-PH seperti didakwa Kadir Jasin?

Boleh sahaja Kadir Jasin menjawab segala tuduhan itu dengan hujah dan fakta. Bukan dengan cara mengugut seperti itu.

Hakikatnya, segala yang dilontar oleh Abdul Muein itu semuanya fakta yang telah disahkan dan disiarkan dimedia.

Ugutan ini dilakukan hanya kerana Kadir Jasin tiada fakta dan hujah untuk melawan balik.

Adakah politik ugut kembali subur? Beginikah wajah sebenar Malaysia Baharu?

Dalam hal ini AJK PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan mengatakan Kadir Jasin tidak selayaknya menjawab dengan nada dan maksud menghalang ahli akademik melontarkan pandangan dan kritikan berfakta meskipun terhadap kerajaan.

Bagi Nasrudin, status Kadir Jasin selaku Penasihat Media Perdana Menteri tidak sepatutnya melakukan ugutan itu.

Gerakan perubahan yang dilaungkan selama ini, termasuklah oleh PH sendiri adalah bermaksud untuk mewujudkan satu suasana ahli akademik boleh memberi pandangan berasaskan fakta dan hujah yang baik.

“Kecualilah segala slogan perubahan, transformasi, reform dan sebagainya itu hanyalah sekadar satu sandiwara politik untuk mempersenda mentaliti rakyat,” kata Nasrudin.

Apatah lagi tulisan Abdul Muein yang berjudul “400 Hari Pakatan Jual Lebih RM20 Bilion Aset Negara” adalah sarat dengan fakta dan hujah.

Sikap dan pendekatan yang diambil oleh Kadir Jasin bukan sahaja tidak demokratik tetapi memperlihatkan satu tindakan yang bersifat patah balik ke belakang. Mundur dan tidak bertamadun.

Sikap sebegini tidak akan menjadikan kerajaan DAP-PH hari ini lebih baik dari yang sebelum, malah lebih parah dan punah.

Jika tulisan Abdul Muein itu benar, maka kerajaan DAP dan PH mesti mengambil tanggungjawab yang wajar atau rakyat membetulkan pilihan mereka pada pilihanraya akan datang. – 4 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.