DEWAN Pemuda PAS Malaysia (DPPM) sudah menyatakan pendirian kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung usul menurunkan had kelayakan mengundi menjadi 18 tahun.

Dalam pertemuan bersama Syed Saddiq semalam, Ketua DPPM, Ir Khairil Nizam Khirudin menyokong usul tersebut tetapi disertakan dengan satu syarat penting.

Khairil berkata, kerajaan perlu mengemukakan usul pendaftaran secara automatik serta usul supaya kelayakan menjadi calon pilihan raya juga diturunkan kepada 18 tahun.

Jelasnya, langkah itu bagi memaksimumkan penglibatan anak muda dalam proses demokrasi dan membina negara.

“DPPM mendokong penuh usaha ahli parlimen PAS bersama barisan pembangkang membawa usul pindaan Perkara 119(1) Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan pendaftaran secara automatik warganegara Malaysia cukup umur 18 tahun dan usul pindaan Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan umur kelayakan menjadi calon pilihan raya kepada 18 tahun.

“Dalam konteks yang lebih besar, saya telah menyatakan kepada YB Menteri (Syed Saddiq) komitmen DPPM dalam memperkukuh kesepakatan anak muda agar suara anak muda diangkat lebih tinggi dan isu-isu berkaitan anak muda dapat diselesaikan secara tuntas,” katanya dalam satu kenyataan.

Khairil berkata, bagi merealisasikan kesepakatan itu, DPPM akan menggerakan beberapa usaha termasuk mengadakan pertemuan dan perbincangan berkala bersama Kementerian Belia dan Sukan dalam usaha menyelesaikan isu anak muda.

Selain itu katanya, DPPM juga akan menyatukan organisasi, badan-badan atau persatuan-persatuan anak muda tanpa mengira bangsa dan agama di atas satu platform bagi memperkasa suara anak muda dalam membawa isu anak muda.

“Kita juga akan melebarkan dan memperkukuh kerjasama politik bersama rakan daripada Gagasan Sejahtera, pembangkang dan Armada bagi meningkat kesedaran politik anak muda.

“Saya melihat masa hadapan yang lebih baik untuk anak muda Malaysia sekiranya semua pihak dapat membudayakan politik yang matang dan sejahtera sepertimana aspirasi yang dibaca oleh PAS melalui Budaya Politik Matang & Sejahtera (BPMS),” katanya. – NTHQiBord, 4 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.