HARI ini, Menteri Belia dan Sukan mengemukakan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi meminda Perkara 119 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan bagi meminda hak mengundi dari umur 21 tahun menjadi 18 tahun.

Melihat reaksi Ketua Pembangkang dan pemimpin pembangkang lain, didapati bahawa Ahli-Ahli Parlimen pembangkang hanya akan bersetuju dengan RUU ini jika:

Pertamanya, Perkara 119 (1) juga dipinda bagi membolehkan warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun secara automatik terdaftar sebagai pemilih.

Kedua, Perkara 47 (b) juga dipinda bagi membolehkan warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun layak menjadi Ahli Dewan Rakyat.

Rasional utama di sebalik persetujuan bersyarat ini adalah bagi mengatasi masalah ramai dalam kalangan warganegara Malaysia yang layak tetapi tidak mendaftar sebagai pemilih.

Begitupun, meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan pendaftaran secara automatik warganegara Malaysia yang layak tidak mampu menyelesaikan masalah utama.

Tahap kesedaran mengundi yang rendah, bukan sahaja di Malaysia, tetapi di negara seperti Australia, tidak akan mendorong pemilih keluar mengundi melainkan bila dipaksa.

Apa yang lebih diperlukan adalah “undi wajib”, iaitu satu peruntukan yang mewajibkan setiap yang layak mengundi untuk keluar mengundi, jika tidak mereka akan dihukum.

Peruntukan begini adalah selaras dengan pendirian tokoh-tokoh Islam tanah air, termasuk pemimpin PAS seperti Almarhum Datuk Harun Taib, bahawa mengundi adalah wajib.

Mufti Wilayah Persekutuan dalam tulisan beliau pada 12 Februari 2018 dan 2 Julai 2019 juga menyebut bahawa mengundi adalah wajib dan haram hukumnya untuk tidak mengundi.

Adalah diharapkan Ahli-Ahli Parlimen PAS khasnya akan menjuarai usaha untuk meminda Perkara 119 (1) bagi menukar ayat “berhak mengundi” menjadi “wajib mengundi”.

Ini kerana PAS terkehadapan dalam soal ini yang telah dibangkitkan dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-14 di Taiping, Perak, pada 12, 13 dan 14 Ogos 1966 lagi.

Usul PAS Bachok berbunyi: “Mendesak Kerajaan Pusat supaya mengadakan undang-undang undi wajib kepada yang berhak dalam semua peringkat pilihan raya di Malaysia ini”.

Usul “pendaftaran pemilih hendaklah ditukarkan kepada sistem daftar secara automatik” (PAS Kuala Kedah) pula hanya timbul dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-50.

Sekianlah adanya pandangan saya kepada yang bertanya. – 4 Julai 2019.

DR KAMARUL YUSOFF,
Penganalisis Politik.

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan NTHQiBord*

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.