DATUK Suboh Md Yassin adalah bekas Pengarah SRC International Sdn Bhd yang kini menjadi saksi untuk kes perbicaraan penyelewengan dana RM42 anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu.

Sebagai salah seorang pengarah syarikat, Suboh mempunyai kuasa menurunkan tandatangan bagi sebarang urusan pemindahan wang yang melibatkan akaun syarikat SRC International.

Sudah pasti sebagai pengarah juga, beliau semestinya mengetahui aliran keluar masuk duit syarikat yang mempunyai kepentingan awam, selain peka dengan akaun syarikat.

Tapi dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, Suboh memberitahu Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bahawa beliau langsung tidak mengetahui tentang kewujudan akaun ‘rahsia’ SRC International.

Peliknya, akaun rahsia itu digunakan untuk pemindahan pertama sebahagian wang pinjaman daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) bernilai RM2 bilion yang dilakukan pada 29 Ogos 2011 dan dikeluarkan pada hari yang sama.

Akaun rahsia itu didaftarkan di bawah nama bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International, Nik Faisal Nik Ariff dan seorang lagi individu, Vincent Beng Huat.

Suboh berkata beliau langsung tidak dimaklumkan oleh Nik Faisal atau mana-mana pengarah lain tentang kewujudan akaun rahsia yang berakhir dengan nombor 736 itu.

Sebagai rekod, SRC International meminjam RM4 bilion daripada KWAP dengan tujuan pelaburan projek sumber tenaga asli.

Dalam sesi soal balas dengan peguam bela, Suboh ditanya sama ada beliau tahu tarikh bila kali pertama SRC International menerima wang pinjaman daripada KWAP.

“Saya tidak tahu.” jawab Suboh.

Peliknya, Suboh dalam keterangannya, beliau juga mendakwa tidak mengetahui bahawa aliran keluar masuk baki pemindahan wang pinjaman RM2 bilion yang dimasukkan dalam akaun utama SRC International.

Pemindahan kedua pinjaman RM2 bilion itu dilakukan pada 28 Mei 2012 dan dikeluarkan dari akaun utama SRC International dua hari kemudian pada 30 Mei 2012.

Suboh merupakan saksi ke-42 kes perbicaraan bekas Perdana Menteri Najib Razak dalam kes penyelewengan dana SRC International.

Najib berdepan tujuh pertuduhan termasuk salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana syarikat itu yang berjumlah RM42 juta. – NTHQiBord, 4 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.