TUN Mahathir Mohamad disifatkan sebagai punca Malaysia hilang hak selamanya ke atas Pulau Batu Putih kepada Singapura, kata Isham Jalil.

Pengerusi Jaringan Sukarelawan Malaysia itu berkata, hal ini berlaku kerana Perdana Menteri akur dengan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa untuk menyerahkan Pulau Batu Putih kepada Singapura.

Menurut Isham, Malaysia mempunyai had masa sehingga 10 tahun untuk mengemukakan rayuan dan semakan semula mengikut Artikel 61 Statut Mahkamah Keadilan Antarabangsa dan tempoh itu tamat pada 2018.

“Malaysia sebenarnya masih berpeluang mendapatkan semula hak ke atas pulau itu kerana Putrajaya sudah membuat rayuan kepada Mahkamah Rayuan untuk semakan semula pada 2017.

“(Tetapi) Tun Mahathir mencadangkan untuk menyerahkan Pulau Batu Putih kepada Singapura ketika proses rayuan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa masih lagi berjalan.

“Akibatnya kini kita telah hilang kedaulatan dan hak ke atas Pulau Batu Putih buat selama-lamanya,” katanya dalam laman Facebook miliknya semalam.

Sehubungan itu, Isham menyeru rakyat untuk bangkit mempertahankan kedaulatan negara dan menumbangkan Pakatan Harapan (PH).

“Di bawah PH ini, sudahlah aset dan harta kerajaan dijual dan dilelong, kini sempadan dan kedaulatan negara juga diserah kepada kuasa asing.

“Jika ada ketika dan masa dalam sejarah yang rakyat perlu berjuang demi nusa dan bangsa, inilah masa yang paling kritikal untuk kita bangkit mempertahankan ibu pertiwi. – 4 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.