TIMBALAN Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin kini giat mencari pengganti Haziq Abdullah Abdul Aziz yang ditamatkan kontrak sebagai Setiausaha Sulit Kanan beliau.

Kontrak Haziq ditamatkan pada 18 Jun lalu oleh kementerian itu kerana melanggar nilai, etika dan Peraturan-peraturan Perkhidmatan Awam yang berkuat kuasa termasuk Perintah Am serta Perjanjian Kontrak.

Haziq sebelum ini mencetuskan kontroversi kerana mengaku melakukan hubungan songsang dengan menteri mirip Datuk Seri Azmin Ali dalam video semburit yang tersebar pada awal bulan lepas.

Sehubungan itu, Shamsul berkata pihaknya menerima lebih 20 permohonan untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Haziq.

“Permohonan sangat menggalakkan termasuk dari kalangan wartawan berpengalaman. Setakat ini saya belum menyemak kesemua permohonan berkenaan.

“Setakat yang saya semak, belum ada yang memenuhi sebagaimana dikehendaki. Untuk jawatan itu diberi keutamaan kepada pegawai tadbir daripada kementerian, namun peraturan tidak menghalang mana-mana pihak untuk dibawa masuk.

“Kita perlukan pegawai yang mampu memberi tumpuan penuh kerana pengalaman lepas mengajar saya lebih teliti untuk mencari calon terbaik. Sekarang masih belum jumpa,” katanya. – 5 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.