BELUM pun reda kes pencemaran pembuangan sisa toksik di Pasir Gudang, Johor, muncul pula isu tempat pembuangan sisa berbahaya itu di Pahang.

Menurut laporan media hari ini, sebanyak 225 tempat di Pahang dikesan berpotensi mempunyai sisa toksik.

Antara kawasan yang mempunyai bacaan tertinggi ialah, Kuantan, diikuti oleh Jerantut (67), Cameron Highland (28), Temerloh (26), Bentong (7), Bera dan Pekan (6), Raub (5), Lipis dan Rompin (4) serta Maran (3).

Menurut Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin, kawasan-kawasan berkenaan dikenalpasti melalui pengunaan dan pemantauan teknologi penderiaan jauh atau ‘remote sensing’.

Siasatan masih terus dijalankan oleh pihaknya bagi mengenalpasti keadaan sebenar kawasan yang terlibat.

“Kebarangkalian ini belum dikenal pasti sama ada melibatkan kilang haram atau sebaliknya”.

“Kita tidak mempunyai gambaran sebenar berhubung permasalahan ini namun melalui penggunaan teknologi ‘remote sensing’ yang dijalankan menunjukkan seolah-olah ada pembuangan sisa toksik di kawasan tersebut,” katanya.

Mohd Sharkar berkata penubuhan Jawatankuasa Pemantauan Pelupusan Buangan Berbahaya negeri itu bermula pada Mei lalu bagi memastikan tindakan pantas dapat diambil terhadap kejadian melibatkan pembuangan sisa berbahaya terurama dalam industri perkilangan.

Walaubagaimanapun, langkah pemantauan yang berterusan dari masa ke semasa juga akan dilakukan oleh Jawatankuasa dengan melibatkan jabatan dan agensi yang berkenaan.

“Penubuhan jawatankuasa ini bagi memastikan tindakan segera dapat diambil jika berlaku sebarang kejadian melibatkan pembuangan sisa berbahaya terutama dalam industri perkilangan”, katanya.

Selain itu, Operasi Bersepadu yang akan diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak adalah bagi menangani masalah tersebut daripada berlarutan. – 5 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.