PENGGUNAAN ‘Bangsa Johor’ perlu dihentikan serta-merta, kata pemimpin PKR Johor, Hassan Abdul Karim.

Hassan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Hubungan Antara Negeri dan Persekutuan, berkata ungkapan itu tidak sesuai disebabkan Malaysia ialah sebuah negara persekutuan.

Malah katanya, orang Johor sendiri tidak boleh taasub dengan uangkapan itu yang bersifat kenegerian, bukan nasional.

Hassan berkata beliau sendiri anak Johor dan bangga dengan keadaan itu namun pada masa sama mendukung persekutuan Malaysia.

“Negeri harus mengutamakan kesatuan Malaysia.

“Jadi tak boleh taasub, tak boleh obses, tak boleh bersikap kenegerian… itu tidak sihat,” kata Ahli Parlimen Pasir Gudang itu.

Pengerusi PKR Johor itu juga menegaskan semua pihak mesti menggalakkan pembentukan Bangsa Malaysia.

Katanya, Johor hanya satu daripada negeri yang ada dalam Malaysia selain 13 lagi negeri lain yang membentuk negara ini.

“Kita ada orang Melayu, kita ada orang Cina, kita ada orang Iban, kita ada orang Kadazan, kita ada orang India – maka kita semua adalah Bangsa Malaysia, itu pendirian saya,” katanya.

“Kalau ada Bangsa Johor, ada (pula) Bangsa Kedah, ada Bangsa Sarawak ada Bangsa Terengagnu… sampai bila (pun) kita tak ada kesatuan,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas kenyatannya yang disifatkan bertentangan dengan istana, Hassan berkata, beliau terpaksa menyatakan perkara yang benar walaupun mungkin tidak disenangi pihak tertentu.

“Saya faham, maknanya saya juga kena berhati-hati.

“Saya hormati institusi sultan dan tapi saya terpaksa menyatakan yang benar dari segi politik, antropologi, sosiologi, iaitu kena terima hakikat negara kita negara persekutuan.

“Johor maknanya, kita sebut orang Johor, orang Kedah, anak Johor, jadi tak boleh Bangsa Johor… salah,” katanya. – 5 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.