TENAGA Nasional Berhad (TNB) merupakan satu-satunya pilihan tunggal untuk pengguna Malaysia mendapatkan bekalan elektrik.

Tetapi dengan cadangan untuk membenarkan pembekal baharu memasuki pasaran ke Semenanjung Malaysia, bakal memberi saingan kepada TNB.

Kerajaan kini masih meneliti usul untuk membuka peluang kepada pembekal baharu tenaga ke negara ini dan keputusan mengenai perkara itu akan diketahui tidak lama lagi.

Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dalam satu jawapan bertulis Parlimen bertarikh 3 Julai berkata, jika kerajaan memutuskan untuk meneruskan rancangan tersebut, maka TNB bukan lagi menjadi pilihan tunggal untuk pengguna di Semenanjung Malaysia mendapatkan bekalan elektrik.

“Kementerian sedang meneliti dan mengkaji cadangan untuk membuka sektor peruncitan elektrik bagi membolehkan pengguna memilih pembekal elektrik selain daripada TNB,” katanya.

Terdahulu, soalan dikemukakan Ahmad Hamzah (BN-Jasin) yang ingin mengetahui sama ada sektor itu akan diliberalisasikan untuk mempromosikan tarif yang lebih kompetitif.

Menurut jawapan bertulis itu lagi, kementerian juga sedang menjalankan satu kajian bagi menentukan sama ada pembukaan pasaran runcit elektrik dapat memastikan perkhidmatan bekalan elektrik disediakan pada kadar tarif yang lebih kompetitif untuk pengguna.

“Kementerian dijangka membentangkan hasil kajian tersebut kepada jemaah menteri dalam tempoh terdekat bagi membolehkan hala tuju industri pembekalan elektrik ditetapkan,” katanya. – 5 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.