SATU seruan penyatuan Melayu sudah bersahut.

Tun Mahathir Mohamad mempelawa semua parti politik Melayu menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) semasa berucap di Rumah Terbuka Aidilfitri BERSATU Negeri Johor semalam.

Pengerusi BERSATU itu berkata, penyatuan itu penting kerana Melayu kini sudah terbahagi dan berpecah kepada enam parti.

Disebabkan itu katanya, potensi untuk mereka menang dalam pilihan raya semakin tipis.

“ Dahulu hanya ada satu parti Melayu iaitu UMNO, tapi kerana tamakkan kedudukan, hari ini orang Melayu berpecah enam… Bukan lagi majoriti 60 peratus, tetapi setiap parti hanya 10 peratus…”

” Saya harap orang Melayu yang masih dalam UMNO kena ingat, kita perlu bersatu untuk berjuang apa pun…” kata Tun Mahathir.

Perdana menteri juga mengingatkan barisan kepimpinan parti supaya menjadikan episod kekalahan Umno di Johor sebagai satu pengajaran.

“ Yang jelas ialah walau kuat bagaimana sekalipun parti itu kalau ia sudah menyeleweng, ia akan jadi lemah…”

” Inilah pengajaran yang kita dapat daripada peristiwa dari Johor ini pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14,” katanya.

Mengulas sama ada pelawaan beliau akan mendapat tentangan daripada parti komponen Pakatan Harapan (PH),  Tun Mahathir berkata:

” Itu masalah dia. Kita tiada kaitan dengan parti-parti lain. Walaupun dalam PH, mereka pun dapat ahli baharu juga…”

Tun Mahathir turut mengingatkan supaya jangan ada pihak menyekat sesiapa yang mahu menyertai BERSATU. – NTHQiBord, 5 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.