MALAYSIA perlu mengambil peluang dalam industri nadir bumi yang bernilai berbilion ringgit sebelum negara lain di rantau ini mendapat manfaat tersebut.

Global Business Forum dalam satu kenyataan berkata, Malaysia berada di kedudukan istimewa dalam membangunkan rantaian bekalan nadir bumi alternatif dan mengambil langkah strategik jangka panjang dalam industri pertumbuhan utama.

“Masa depan aspirasi industri berteknologi tinggi Malaysia bergantung pada kemampuannya untuk terlibat dalam aktiviti hiliran pemprosesan nadir bumi untuk pasaran dunia.

“Peluang bernilai berbilion ringgit untuk terlibat dalam rantaian nilai bahan kritikal ini mesti diambil sebelum pemain serantau lain menarik kepakaran perlu serta pelaburan untuk mengatasi kedudukan semasa Malaysia dalam industri ini,” kata kenyataan itu.

Global Business Forum Malaysia akan menganjurkan satu sidang meja bulat peringkat tinggi pada 10 Julai ini bagi membincangkan masa depan industri nadir bumi di Malaysia.

Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dijangka menyampaikan ucaptama kepada acara tersebut.

Kenyataan itu menyebut, sidang berkenaan tepat masa kerana dalam beberapa minggu kebelakangan ini, industri nadir bumi dunia mengambil tempat utama dalam perbincangan antara Amerika Syarikat dan China.

Nadir bumi adalah input perlu dalam industri automotif dan akan menjadi lebih penting berikutan perkembangan kenderaan elektrik, industri elektronik, minyak dan gas dan tenaga boleh diperbaharui.

Pada masa ini, China mendominasi industri nadir bumi dengan pegangan lebih 80%.

Berikutan ketegangan terbaru, pengguna industri di seluruh dunia bimbang berkenaan penerusan bekalannya.

Sidang meja bulat itu bertujuan menjadikan Malaysia sebuah ekonomi maju dengan memanfaatkan rantaian nilai nadir bumi.

Perbincangan tersebut akan melibatkan pembuat dasar, pemain industri, syarikat berkaitan kerajaan, agensi pembangunan kerajaan, ahli akademik dan pemegang taruh lain bagi membantu merangka hala tuju strategik dan mencadangkan langkah seterusnya. – 5 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.