AKHIRNYA rakyat bertindak untuk menyaman pihak yang bertanggungjawab menyebabkan masalah kesihatan di Pasir Gudang, Johor.

Saman sebanyak RM10 juta akan dikemukakan oleh mangsa pencemaran toksik di Sungai Kim Kim selepas kebajikan mereka tidak dibela, kata ibu kepada salah seorang mangsa pencemaran Sungai Kim Kim, Norlela Abu Hashim, 45.

“Kita masih sedang mengumpulkan bukti dan akan failkan kes ke mahkamah bulan ini kerana kita nak kumpulkan laporan perubatan mangsa.

“Sebab kita tengok tak ada pembelaan untuk mangsa sampaikan ada yang mata bermasalah tak boleh kawal pandangan, serangan saraf macam anak saya, ada yang sering sesak nafas dan pengsan.

“Jadi saya rasa kena saman sekurang-kurangnya RM10 juta untuk mangsa yang terjejas lebih kurang 40 hingga 50 orang ini sebab kita tak tahu masa depan kesihatan macam mana, berapa lama rawatan atau kesan jangka panjang,” katanya menurut Sinar Online.

Difahamkan kesemua mangsa termasuk pencemaran Sungai Kim Kim dan pencemaran terbaharu Jun lalu kini bersatu di bawah Persatuan Kebajikan Mangsa-mangsa Toksik Pasir Gudang.

Anak Norlela, Irfan Wafiy, 12 disahkan menghidap Myokimia yang menyebabkan anggota badannya menggeletar dan menyebabkan aktiviti harian pelajar SK Taman Bukit Dahlia itu terbatas termasuk untuk berjalan.

Menurut Norlela, Irfan kini tidak dapat lagi melakukan aktiviti harian seperti biasa selepas menjadi mangsa pencemaran Sungai Kim Kim Mac lalu dan terlantar di hospital selama 10 hari.

“Saya hantar ambil Irfan ke sekolah dan bawakan beg naik ke tingkat atas. Dia naik tangga sendiri pegang besi tangga. Lama juga untuk tunggu dia daki tingkat tiga,” katanya.

Bapanya, Idham Wazir A. Wahab, 49 yang sebelum ini menarik perhatian selepas videonya menerjah sesi ‘townhall’ antara industri dengan Menteri Tenaga, Sains,Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, Isnin lalu berkata gelombang kedua pencemaran udara itu akhirnya membuka mata semua pihak tentang bahayanya kesan pencemaran toksik itu.

Tegasnya, sebagai kerajaan, pihak yang terlibat perlu mencari jalan mengesan punca yang menyebabkan gelombang kedua pencemaran di Pasir Gudang tercetus lagi, Jun lalu.

“Kalau kerajaan tak tahu, carilah pakar luar yang boleh selesaikan isu ini. Buat apa nak cari alasan, dolak dalik lagi?

“Nak siasat ini pakai duit juga tapi tak ada hasil jadi lebih baik keluarkan duit upah pakar luar dan ada hasil,” katanya yang berhenti kerja sebagai jurutera bagi menumpukan perhatian pada Irfan. – 5 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.