KAKITANGAN Malaysia Airlines Bhd (MAB) boleh menarik nafas lega apabila pembeli berpotensi syarikat penerbangan nasional itu berjanji tidak akan membuang mana-mana pekerja.

Bekas Pengerusi AirAsia Bhd, Datuk Pahamin Ab. Rajab dan lima rakannya antara yang berminat untuk mengambil alih MAB dan membuat tawaran itu menerusi syarikat mereka Najah Air Sdn Bhd.

Menurut akhbar The Star, Pahamin menawarkan untuk mengambil alih MAS 49 peratus kepentingan dalam MAS dan 51 peratus kepentingan yang dipegang oleh Khazanah Nasional.

Mereka juga katanya akan melaksanakan kajian terperinci selama tiga bulan sebelum mengumumkan pelan pemulihan menyeluruh MAS.

“Kami telah memberi jaminan kepada Perdana Menteri bahawa kami tidak akan memecat sesiapa di MAB. Kami juga tidak akan meminta bantuan kewangan daripada Khazanah atau kerajaan. Kami akan (meminta) mempunyai hak untuk menguruskan tanpa gangguan daripada kerajaan.

“Syarikat penerbangan itu akan mempunyai penjenamaan kebangsaan sama dan tidak akan menukar nama. Ia akan kekal sebagai Malaysia Airlines dan ia akan menjadi syarikat penerbangan antarabangsa,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menafikan tawaran pengambilan alih tersebut melibatkan AirAsia ataupun Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan syarikat penerbangan tambang murah itu, Tan Sri Tony Fernandes.

Katanya, sekiranya Najah Air berjaya mengambil alih MAS, mereka akan menjadi pesaing kepada kumpulan AirAsia. – 5 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.