LANGKAH tepat, kata Zuraida Kamaruddin tentang pemecatan Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Tapi Naib Presiden PKR itu berkata, langkah itu sepatutnya diambil lebih awal supaya mengelak lebih banyak spekulasi.

“Saya (berasa) ralat sedikit.

“Sepatutnya dia (Haziq Abdullah) dipecat lebih awal,” katanya.

Beliau juga berharap sekiranya ada kes-kes seumpama ini di masa akan datang, tindakan yang tangkas dan cepat dapat diambil parti.

Ini katanya supaya spekulasi dan penyebaran maklumat dapat dihentikan secepat mungkin.

“Kalau tidak dihentikan, nanti rakyat tiada kerja lain selain membaca cerita-cerita seperti ini. Macam mana hendak bangunkan negara? Kita perlu hentikan budaya seperti ini,” katanya.

Haziq akhirnya dipecat PKR kerana melanggar tatacara disiplin parti dengan tuduhan yang dibuat secara terbuka dan  mendakwa bahawa beliaulah lelaki yang bersama seorang pemimpin PKR dalam video seks songsang.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kesan kontroversi itu terhadap PKR, Zuraida yakin perkara itu tidak mencemarkan nama baik parti.

“Parti (PKR) tetap akan ada di situ,” katanya. – 5 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.